Sunday 22 December 2013

1.0 BEDAH MINDA KRITIS UMAR R.A



1.0 BEDAH MINDA KRITIS UMAR R.A

Dalam era revolusi pemikiran kini, dunia  memerlukan insan yang mempunyai minda kritis  tanpa mereka dunia akan lambat bergerak, lesu serta tak berkutip umpama bunga yang sedang berada di musim luruh. Satu hakikat yang harus kita terima gelombang kebangkitan islam semakin berada di puncaknya begitu juga kebangkitan(thaurah) intelektualisme sedang berkembang dan kita sendiri menyaksikan betapa segala kejumudan serta beku pemikiran sedang dihancurkan oleh perkembangan arus semasa dengan kewujudan laman sosial. Lantas, ini memberi ruang kreatif dan kritis terhadap persekitaran masyarakat. 

Sejarah telah mencatat betapa pemikiran kritis membawa kepada tajdid terhadap perubahan iaitu kegelapan kepada cahaya yang mana andai kita meneliti kisah kritis marthen luther[1] menubuhkan Mahzab Protestan sehingga dapat memecahkan doktrin ajaran pope atau Katolik yang sungguh zalim pada ketika itu. Atas perkembangan ini perlunya ada satu modul untuk memandu pemikiran yang sedang berkembang lalu satu keperluan bagi penulis untuk membedah minda kritis seorang tokoh mujaddid iaitu Umar r.a yang banyak membawa cetusan atau modus operandi dalam pemikiran Islam kontemporari kini.

Umar r.a adalah aktor di panggung dunia yang banyak mencatur landskap kerohanian, ekonomi, sosio politik dan kenegaraan. Atas percaturan yang dilakukan oleh Umar r.a membawa kita kepada cetusan agar kita tidak takut untuk berfikir seperti mana disebut oleh Sheikh Muhammad Al Ghazali[2]
“Aku tidak takut kepada sesiapa yang banyak berfikir meskipun pemikirannya itu menyimpang, tapi apa yang aku takuti ialah apabila seseorang itu tidak berfikir atau malas berfikir, kerana orang yang tidak berfikir akan jauh daripada petunjuk dan hidayah tapi insan yang rajin berfikir akan dekat dengan petunjuk dan hidayah tuhan”


Hal ini sinonim dengan firman Allah Swt
انما يتذكر اولو الالبب..
Maksudnya: sesungguhnya orangg-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna[3]

Al Quran menyebut banyak kali berkaitan dengan akal dan Allah menyatakan bukti-bukti kekuasaannya agar kita kritis dalam berfikir dan mengkaji. Firman Allah lagi :

فاعتبرو يأولى الأبصر..
Maksudnya: Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.[4].

2.0 KONSEP MINDA KRITIS

Sebelum penulis meneruskan penulisan adalah bermanfaat untuk penulis membahas pengertian minda kritis supaya kita dapat melihat secara umum betapa kritisnya minda umar r.a. Seterusnya, minda kritis adalah gabungan daripada prosa kata “minda” dan “kritis” manakalah kritis dari sudut bahasa ialah berasal daripada perkataan Inggeris ‘ Critic’. Namun begitu kata dasar ‘kritis’ merupakan perkataan Greek ‘Kriths’ ( kritikos) yang bermaksud menimbang (judge). Menimbang pula membawa maksud menilai (evaluates), membezakan (distinguishes), memutuskan (decide) dan menyoal (question) sama ada sesuatu itu benar atau salah[5]. Dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula, perkataan ‘kritis’ ditakrifkan sebagai “tidak dengan begitu sahaja menerima atau mempersetujui sesuatu malahan menimbangkan buruk dan baiknya terlebih dahulu”[6]

Pemikiran kritis dari sudut istilahnya membawa pengertian sebagai ikhtiar dan daya intelektual dan moral untuk membangun, mempertajam dan memperhalusi serta mengembangkan sesuatu bidang ilmu tersebut. Disamping itu, pemikiran kritis juga boleh ditakrifkan sebagai pemikiran reflektif yang berusaha untuk memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu maklumat. Ia juga turut menekankan tentang soal fakta yang benar ataupun salah. Firman Allah dalam Al Quran:

(maksudnya) “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutku menyeru kepada agama Allah berdasarkan bukti yang jelas nyata. Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf: ayat 108).

Allah berfirman lagi dalam surah al-Isra’ ayat 36:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan dipertanggungjawabkan”.

Imam Al Qatadah ketika menafsir ayat ini beliau menyatakan :
“Janganlah engkau mengatakan engkau Nampak sedangkan engkau tidak Nampak, dengar sedangkan engkau tidak dengar dan tahu sedangkan engkau tidak tahu.”

Begitu juga dengan Dr Hamka ketika menafsir ayat ini bahawa
“Dalam hidup beragama amat diperlukan penggunaan pendengaran, pnglihatan dan hati bagi meneliti dan mengkaji. Kerana umum mengetahui amalan yang sunnah dan bid'ah sukar dibezakan oleh itu wajib kita mengkaji dan meneliti sebelum beramal” [7]

Dalam membahas atau mengemukakan hujah para sarjana, di atas bukanlah tujuan penulis untuk membahas sesuatu amalan bid'ah atau merungkai pengertian bid'ah secara khusus tetapi ingin menyatakan bahawa betapa islam menginginkan ummatnya mempunyai minda kritis dalam menilai sesuatu hujah atau pandangan yang datang secara teks dan konteks dengan lebih ilmiah. Hal ini sinonim dengan kata-kata seorang ilmuan.
“Sesuatu laporan ataupun, kisah ataupun teks yang hendak dianggap benar bagi dikaitkan dengan islam perlu dinilai secara kritis untuk mengkaji sejauh manakah kesahihan maklumat itu”[8]

3.0 PERMULAAN KE ISLAMAN

Umar r.a lahir daripada tamadun atau madrasah Agung  Rasulullah SAW yang mana madrasah ini telah mendidik(tarbiyyah) sehingga beliau menjadi salah seorang sahabat yang banyak mewarnai(tajdid) terhadap da'wah rasulullah serta keislaman beliau sering dikaitkan(diiktibakan) kepada pencerahan dan kekuatan terhadap da'wah Rasulullah secara terang-terangan yang sebelum ini da'wah Rasulullah hanya berada dalam keadaan senyap(sirrud da'wah).  Ketika Umar r.a menyatakan keislamannya secara terbuka di rumah Al Ar qam bi Abi Ar qam lalu Umar r.a bertanya(berdialog) kepada rasulullah:

Ya Rasulullah, adakah agama ini benar selamanya sehingga nyawa berada dihujungnya?? Tuntas rasulullah menjawab. Ya, demi sesunggunya nyawa ku di atas kekuasaannya agama ini adalah agama yang benar sehingga nyawa berada dihujungnya.

Lalu Umar berkata lagi, kalau begitu mengapa kita perlu bersembunyi?? Demi sesunggunya ya Rasulullah engkau mesti mengeluarkan kami dari persembunyian ini. Tuntas rasulullah mengarahkan buat dua barisan yang mana barisan pertama dipandu oleh Hamzah r.a manakalah barisan kedua dipandu sendiri oleh Umar r.a dan berkumpul(berdemonstrasi) di depan masjidil Haram lalu ketika orang kafir Quraisy melihat Umar  r.a dan Hamzah r.a besarlah kebencian mereka terhadap kami pada ketika itu[9]



Betapa kritisnya Umar r.a yang tidak hanya menerima atau mengikuti secara membabi buta tanpa mengkaji dan menilai untuk menguatkan kekuatan dan keimanan kepada Allah SWT  dan Rasulnya. Bahkan peristiwa dialog ketika keislaman Umar r.a menjadi hujah kepada Ulama kontemporari terutamanya Dr Yusuf Al Qharadawi untuk mengeluarkan(istimbat) hukum keharusan perhimpunan aman(demostrasi) bagi menjawab persoalan terhadap insan yang memutuskan demonstrasi aman adalah haram secara tetap(qati'e).
Apa yang kita lihat dalam peristiwa keislaman Umar r.a dan dialog Umar bersama Rasulullah SAW menunjukan betapa pemikiran kritis Umar r.a  bersifat kritikal iaitu boleh difahami sebagai menimbang yang membawa maksud menilai, membezakan, memutuskan dan menyoal sama ada sesuatu perkara itu benar atau salah.

4.0 MINDA KRITIS UMAR R.A DALAM PENTADBIRAN

Antara perkara penting yang penulis ingin sampaikan ialah betapa pemerintahan Khalifah Ar Rasyidin khususnya Umar r.a banyak dilihat menyalahi sunnah Rasulullah andai kita melihat secara zahir(lateral) tanpa melihat dengan nas dan konteks yang luas serta mengaitkan dengan  pemikiran Kritis dan inovasi dalam pemerintahan Khulafa Ar Rasyidin khususnya pemerintahan Umar r.a. Apa yang harus kita maklum dalam melihat percanggahan antara kepimpinan Rasulullah dan para sahabat ialah kita harus bijak membezakan komposisi antara Nabi Muhammad yang bersifat seorang Nabi dan bersifat seorang pemimpin. Ini bermakna tingkah laku Nabi dalam pemerintahan merupakan asas dalam menjaga maslahat(kebaikan) ummat secara total atau keseluruhannya yang mana ianya dilakukan oleh Nabi pada zaman
pemerintahan Baginda. Maslahat yang wujud pada zaman Baginda boleh berubah dan perkara yang berkaitan dengan maslahat ini boleh menerima perubahan. Ketika melakukan perubahan ini, seseorang khalifah yang menggantikan Nabi dalam menegakkan agama dan menguruskan dunia dengannya hendaklah memelihara maslahat baru. Perkara ini tidak dikira menyalahi perbuatan Nabi, bahkan pada hakikatnya dikira sebagai menuruti Nabi dalam cara yang dijalankan oleh Baginda, iaitu cara pemimpin memelihara maslahat umat ketika zaman permerintahannya. Perkara ini bertepatan dengan hadith sahih yang diriwayatkan oleh
Imam Muslim daripada Aishah dan Anas :

انتم اعلم بأمردينكم   
Ertinya: “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu”.

Ransangan inilah yang menjadikan Umar melakukan perubahan di dalam banyak perkara
yang dinamakan sebagai  اوليات عمر ". Beliau mendapat petunjuk di dalam kerja- kerja beliau dengan melakukan perbincangan dengan para sahabat terutamanya Ali bin Abi Talib[10]

Selain itu, dalam penetapan kelander Hijrah dan penetapan bayaran jizyah misalnya menonjolkan lagi  ke kritisan Umar r.a apabila Umar r.a mengubah pandangan beliau dalam menetapkan
kadar jizyah berbeza dengan apa dilakukan oleh Nabi. Beliau adalah seorang yang amat teliti
terhadap al Quran dan sunnah Rasulnya.

Dalam satu hadith Nabi bersabda :
Ertinya: Nabi telah mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman, dan Nabi memerintahkan supaya beliau mengambil jizyah daripada setiap orang yang baligh satu dinar atau yang sama kadar dengannya iaitu daripada mu`afir. Al mua`fir ialah pakaian Yaman yang popular. Maknanya diharuskan bagi beliau untuk mengambil daripada golongan non muslim yang telah baligh sebagai ganti kepada duit :

pakaian yang ditenun di Yaman dengan kadar yang sama dengan dinar yang diperlukan. Ini adalah untuk memudahkan dan memberi keringanan kepada mereka.Inilah perkara yang diarahkan oleh Rasulullah terhadap Muaz, dan Muaz telah melaksanakannya di Yaman dengan mengambil jizyah sama ada dengan bayaran dinar atau pakaian Yaman yang menyamai kadar satu dinar tersebut. Tapi kita melihat bahawa Umar mempunyai pandangan yang berbeza pada zaman
pemerintahannya di dalam penetapan jizyah ke atas penduduknya.

Beliau bukan sahaja tidak komited dengan pembayaran dinar atau sesuatu yang menyamai kadarnya, di samping tidak menetapkan satu kadar sahaja bagi semua orang, bahkan telah membahagikan jizyah itu kepada tiga peringkat menurut tahap kemampuan mereka yang dikenakan jizyah. Maka di sana terdapat peringkat tinggi, peringkat pertengahan, dan peringkat rendah. Setiap peringkat ini sesuai dengan peringkat kemampuan orang yang dikenakan jizyah. Para sahabat memperakui pandangan Umar ini dan tidak mengganggap perkara ini bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi. Lalu ia boleh dianggap sebagai ijma’ para sahabat juga.

Umar telah menetapkan had tertinggi bagi jizyah adalah sebanyak empat puluh lapan
dirham, had pertengahan pula adalah sebanyak dua puluh empat dirham, dan had terendah pula
adalah sebanyak dua belas dirham. Pandangan ini telah dipegang oleh mazhab Hanafi.
Dalam satu riwayat yang lain, beliau telah menetapkan ke atas ahli emas (wang emas)
sepertimana yang ditetapkan ke atas penduduk Sham : empat dinar, ahli perak (wang perak)
sepertimana yang ditetapkan ke atas penduduk Iraq : empat puluh dirham. Perkara ini telah
diriwayatkan oleh Abu Ubaid dalam kitabnya dan pandangan ini dipegang oleh mazhab
Maliki.

Maka dalam perkara ini dapatlah dilihat bahawa Umar r.a juga mempunyai minda kritis bersifat analisa iaitu pemikiran kritis yang memberi perhatian terhadap unsur, elemen, bahan, perkara satu persatu dan bertujuan menghurai dan meneliti satu persatu sesuatu perkara itu mengikut kesesuaian.

5.0 MINDA KRITIS UMAR TERHADAP SYARIAT

Dua peristiwa penting yang ingin penulis kongsikan dalam melihat sesi minda kritis Umar r.a dalam pembentukan syariat dan lapangan nas serta keluasan fiqh yang sentiasa berubah mengikut illah, suasana, tempat, kondisi dan masa iaitu:

1) Umar r.a menghentikan hukuman hudud bagi pencuri pada tahun  kebuluran (Al maja'ah)
2) Umar r.a menambah bilangan hukuman rotan bagi peminum Arak (khamar)

1) Umar r.a menghentikan hukuman hudud bagi pencuri pada tahun  kebuluran (Al maja,ah)
Pada tahun kebuluran (Al maja,ah) Umar r.a menghentikan hukuman hudud(potong tangan) bagi pencuri. Penulis yakin dan percaya para pembaca arif berkenaan hukuman had(hudud) bagi pencuri iaitu potong tangan dan ini bertepatan dengan nas pensyriatan Al Quran yang menyebut:

والسارق والسرقة فاقطعوا أيديهما جزاء بما كسبا نكلا من الله, والله عزيزحكيم
Maksudnya:
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah
tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai)
suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.[al
Maidah : 38].
 
Dalam ayat ini jelas ianya qati'e(perkara yang putus) dan dimaklumi seluruh nas Al Quran adalah bersifat qati'e(perkara yang putus) tanpa pertikaian. Lalu persoalannya, mengapa Umar r.a menghentikan suatu hukuman yang telah putus daripada Al Quran? Dan adakah Umar r.a mengubah hukum yang telah shabit daripada Al Quran dan hadith bahkan nabi sendiri bersabda: 
“Andai yang mencuri itu adalah Fatimah aku akan memotong tangannya” [11]

Semua persoalan ini adalah tanda minda Kritis Umar r.a apabila dijawab dan ditegaskan oleh Sheikh Al Madani dengan katanya: Umar sebenarnya tidak menghentikan pelaksanaan nas, tidak
mengubahnya dan tidak memansuhkannya, tetapi beliau memahami bahawa pengambil harta pada tahun al maja`ah(kebuluran) tidak dikategorikan sebagai pencuri. Ini kerana dia mengetahui haknya pada apa yang diambil. Mencuri pula ditakrifkan sebagai mengambil harta orang lain tanpa hak secara sembunyi.

Ditambah lagi oleh Dr Qharadawi
“antara asas-asas Islam yang qat`ie, saling bantu-membantu
antara manusia. Ini bermakna menjadi fardu kifayah kepada masyarakat unutk menghulurkan
bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah dan menjauhkan mereka dari lembah darurat. Jika
masyarakat tidak menjalankan kewajipan ini kepada golongan terdesak ini maka berdosa. Manakala orang yang terdesak ini boleh mengambil apa yang memenuhi keperluan asasnya dan menjauhkan daruratnya.”

)    2) Umar r.a menambah bilangan hukuman rotan bagi peminum Arak(khamar)

Andai kita melihat atau membuka kitab-kitab fiqh yang muktabar pasti kita akan menemui perbezaan(khilaf) antara ulama dan sarjana islam dalam menetapkan bilangan hukuman terhadap peminum Arak. Ini kerana perbuatan Umar r.a dalam menambah bilangan sebatan terhadap peminum Arak yang asalnya 40 di zaman nabi menjadi 80 kali sebatan di zaman pemerintahan Umar r.a apabila menerima cadangan Abdur Rahman bin Auf( Hal ini ada direkodkan oleh Imam Muslim)

Di sini menunjukkan betapa Kritisnya Umar r.a dalam melihat masla'ah(kebaikan) dan fiqh lapangan yang luas sehinggakan natijahnya meninggalkan pembahasan dikalangan sarjana bahawa adakah hukum bagi peminum Arak dibawah hudud atau takzir? Dan ini membuka ruang dan skop kepada keluasan fiqh dan muhasinin Islam(keindahan Islam) kepada mata dunia tanpa ada pertikaian.

Sebenarnya, dalam penulis mengemukakan persoalan di atas bukanlah tujuan penulis untuk membahas hukum atau persoalan khilaf dalam pembahasan fiqh yang luas ini. Pada hemat penulis kita serahkan kepada ahlinya dalam membahas,merungkai dan menghurai khilaf yang berlaku dikalangan sarjana dalam melihat nas yang pelbagai. Apa yang penulis ingin sampaikan bahawa betapa Umar r.a mempunyai minda yang sangat kritis andai kita melihat pemikiran beliau dengan konteks dan skop yang dilakukan oleh Umar r.a serta dipadukan dengan pengkajian yang luas. Lalu, dapatlah kita lihat apa yang dilakukan Umar r.a membentuk minda kritis bersifat tidak bias atau tidak berat sebelah. Tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam meletakkan sesuatu keputusan. Bersifat neutral dan tidak berat sebelah membolehkan ia rasional dan waras dalam membuat justifikasi sesuatu perkara.




KESIMPULAN

Umar r.a adalah insan yang sangat tinggi taqwanya sehingga dikhabarkan oleh Ibnu Katsir dalam kitabnya Bidayahtul hidayah Umar r.a paling banyak menangis dan menginsafi dirinya sehinggakan penerapan elemen taqwa iaitu cinta,takut dan harap sangat sinonim dalam diri beliau. Tambah Ibnu Katsir lagi, disebabkan Umar r.a adalah insan yang lembut hati dan lapang dada lalu diwajah Umar r.a ada tanda hitam seperti air yang mngalir di kedua lopak matanya dan hal ini menjadi bukti Umar r.a adalah insan yang selalu menitiskan air mata keinsafan kepada Allah Azza wa jal.

Sebenarnya  banyak perkara Kritis yang dilakukan oleh Umar r.a adapun yang penulis sebutkan di atas hanya secara umum tanpa mnyentuh perkara yang lebih khusus kerana ruang dan batas yang cukup terhad.Selain itu, semua perkara atau element yang penulis paparkan adalah bukti bahawa betapa Islam sangat mementingkan ummatnya berfikiran kritis bagi bersaing dengan dunia tanpa sempadan ditambah lagi dengan lapangan teknologi yang sentiasa berkembang saban hari. Lalu, pada hemat penulis sistem pendidikan khususnya harus peka dengan perkembangan yang berlaku pada hari ini andai tidak diambil perhatian penulis yakin dan percaya pasti sistem pendidikan Negara khususnya akan ketinggalan oleh dunia. Kata Umar r.a

“didiklah anak mu mengikut zamannya bukan mendidik seperti zaman mu”

Betapa Umar r.a sangat menitikberatkan sistem pendidikan harus cakna dengan perkembangan semasa lalu bijak bermain dengan perkembangan arus perdana pada hari ini supaya Islam sentiasa dilihat fleksibel dalam mendepani arus perubahan zaman. Bak kata Aktivis Mahasiswa :
“ Jangan menjadikan sekolah seperti penjara dan Universiti seperti kilang yang tahu melahirkan produk untuk memenuhi kehendak pasaran”

Akhir kalam, Andai ada khilaf atau perbezaan pandangan betapa Islam sangat mengalu-alukan kerana perbezaan itu adalah rahmat tetapi dengan syarat bahawa setiap perbezaan mesti didahulukan dengan hujah dan fakta “Hujah harus dilawan dengan hujah” disamping memaparkan akhlak yang mulia supaya pastikan dalam berhujah masing-masing mengeluarkan equal(kuasa) yang baru untuk berlapang dada kepada satu equal yang lebih  berkuasa. Inilah tanda betapa islam menyeru supaya kita sentiasa kritis dalam segenap perkara

Firman Allah SWT

maksudnya) “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami berserah diri.” (al-Ankabut: ayat 46).

Wallahualam/Bismillah
Rahmat Islah



_________________________________________________
Nota kaki
[1] 1482-1546 merupakan era pencerahan kepada masyarakat eropah dengan munculnya sang pencerah iaitu Maltirn luther. Beliau adalah theologian Kristian di German. Professor theology di Wittenberg. Bangkit menentang apa yang disifatkan penyelewengan, bid,ah, salahguna kuasa dan pelbagai kesalahan lain yang merebak dalam ajaran Kristian ketika zamannya. Sehingga akhirnya, terasasnya Mazhab Protestan.
[2] pergolakan pemikiran Sheikh Muhammad Al Ghazali
[3]
[4]
[5] Mohd Azhar Ab. Hamid (2001), Pengenalan Pemikiran Kritis dan Kreatif. Skudai. Penerbit
[6] Kamus Dewan Bahasa dan pustaka edisi ke 4
[7] Tafsir Al Azhar juzu 15 ayat 36
[8] Travelogi minda tajdid dalam bab mengukur maklumat.
[9] di riwayatkan oleh bukhari dan muslim serta dijadikan sumber hukum pengharusan Demonstrasi oleh para sarjana kotemporari dalam kitab Thaurah syahab karangan Dr Yusuf Al Qhaeadawi.
[10] Dr Zaharudin.Net
[11] di rekodkan oleh jamaah muhadith

(Artikel ini telah dibaca oleh 222 pelawat)