Wednesday 4 December 2013

KAIZEN: KPI BAGI ORANG BERTAQWA






KPI Orang bertaqwa

KAIZEN: KPI BAGI ORANG BERTAQWA


Dan pastinya ia mempunyai satu maksud yang sangat hebat sehingga al-Imam as-Syafi’e menjadikannya rukun untuk dibaca setiap khutbah.
Namun, kegagalan segelintir kecil umat Islam di era kini untuk memahami, mengkaji dan mengaplikasikan arahan atau kisah-kisah yang ada di dalam al-quran dalam konteks urusan seharian membuatkan kita terpaksa mengimport ilmu pengurusan organisasi daripada eropah yang masyhur dengan pemisahan agama daripada kehidupan seharian mereka.
Setelah itu, kita menyalahkan eropah (barat) kerana kesekularan mereka.
Perihal pakej kepimpinan organisasi sudahpun dirakamkan di dalam Surah an-Naml ayat 15 dan 16, penyelesaian terhadap perbezaan pandangan ada di dalam Surah al-Anbia’ ayat 78 dan 79, mewujudkan sistem birokrasi[i] dalam pentadbiran ada dalam surah an-Naml ayat 17, mengenai pakej pekerja organisasi ada di dalam Surah an-Naml ayat 20, ketegasan pemimpin, sikap pengerusi mesyuarat, mengambil kedatangan sebelum memulakan mesyuarat dan sebagainya sudah terakam di dalam al-quran.
Al-Quran bukanlah sebuah buku dan manual pengurusan, ia sebuah panduan hidayah. Tetapi al-Quran tidak lupa menekankan perkara berkaitan dengan pengurusan dalam urusan seharian. Al-Quran memberikan prinsipnya, umat Islamlah yang patut mengembangkan prinsip tersebut.
PERIHAL AYAT TAQWA
Tidak kurang dari empat puluh enam (46) kali Allah SWT menyebut perihal taqwa samada dalam bentuk amar (kata suruh/kalam insyaie), mahupun penyataan (kalam khabari).
Maka, secara jelas dan tuntas kekerapan pengulangan ayat tentang taqwa menunjukan kepentingan perkara tersebut.
ANALOGI
Sebagai seorang ibu dan ayah, apa yang bakal kita lakukan sekiranya kita ingin menyampaikan suatu amanat yang AMAT PENTING kepada anak. Manakah antara berikut akan menjadi pilihan utama tindakan kita?
  1. Panggil acik dan berpesan kepada beliau agar sampaikan maklumat penting ini kepada along.
  2. Memberikan maklumat kepada acik dengan nada yang kuat (menjerit) agar disampaikan kepada along.
  3. Memberikan maklumat kepada along dengan nada yang kuat (menjerit).
  4. Memanggil along untuk berjumpa, saling menghadap lalu disampaikan maklumat tersebut.
Yang mana satukah pilihan kita?
Saya mengirakan kita semua sependapat untuk memilih yang keempat kerana ia sesuatu yang diterima secara logik (common sense). Sekiranya kita ada maklumat yang sangat penting, maka maklumat tersebut harus disampaikan terus kepada orang yang hendak dituju secara terus.
Begitu jugalah dengan ayat di atas.
Sekiranya diperhatikan konteks ayat (سياق الآية), tidak ada sebarang panggilan (منادى) bermula dari ayat 1 hinggalah ayat 17, kenapa tiba-tiba sahaja Allah memberikan arahan pada ayat ini selepas ‘bercerita’.
Tidak lain tidak bukan, pastinya kerana apa yang Allah nak sampaikan pada ayat ini tersangatlah penting.
MENGEKALKAN MA’THURAT  TAFSIR
Benar sekali pernyataan di atas.
Hampir semua pentafsiran bagi ayat ini (sepengetahuan penulis) akan menghuraikan sekitar taqwa dalam amalan seharian dan setiap amalan itu akan dibawa ke hari akhirat (لِغَدٍ) untuk dihisab[2].
Untuk penulisan ini, penulis tidak bercadang untuk mengulang semula apa yang sudah tercatat dalam kutub at-tafasir (buku-buku tafsir), tetapi cuba untuk membawa para pembaca untuk melihat ayat taqwa ini dari sudut pengurusan organisasi khususnya pasca pilihanraya ini.
AYAT TAQWA DAN POST MORTEM PILIHANRAYA
Kini semua peringkat samada aktivis Jemaah, parti lawan, orang yang tidak berparti, semuanya sedang membuat bedah siasat (post mortem) punca dan sebab kekalahan.
Penulis berhajat di peringkat awal untuk turut membuat analisa yang sama, tetapi melihat kepada banyak sekali analisa dibuat dari pelbagai pihak, maka penulis berfikir untuk  menerokai ruang bedah siasat (post mortem) pilihanraya dalam ruang yang belum diterokai.
Iaitu mengajak para penganalisa dan pengkritik untuk sentiasa membuat muhasabah dan penambahbaikan yang konsisten. Kerana ia merupakan BUKTI TAQWA KEPADA ALLAH.
Benar, ayat taqwa di atas adalah arahan dari Allah untuk sentiasa mentaati arahanNya, dan Key Perfomance Indexnya (KPI) ialah sentiasa membuat muhasabah dan penambahbaikan secara konsisten.
MEMAHAMI DALIL SELARI DENGAN KEPERLUAN SEMASA
Tidak ada khilaf bahawasanya metodologi pentafsiran haruslah al-quran dengan al-quran atau dengan hadis atau dengan pentafsiran para sahabat (metod pentafsiran ma’thur).
Namun, di samping itu ia juga boleh dilihat dari sudut yang berbeza dengan SYARAT tidak lari dari disiplin pentafsiran.
Maka, untuk penulisan ini penulis akan menggunakan kaedah bahasa arab untuk digabung jalin dengan ilmu pengurusan organisasi (organizational Management) melihat panduan al-Quran dalam menguruskan konflik dalam organisasi.
Penulisan ini bukanlah untuk mentafsirkan al-quran dengan menggunakan ilmu alat moden seperti sains atau teori pengurusan secara dikotomi tetapi hanya untuk melihat ayat ini dari sudut yang berbeza.
Metodologi seperti ini juga boleh dilihat dalam hadis yang masyhur:
..[وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي..[3
Sekiranya kita melihat hadis inidari sudut pergerakan seorang imam, maka ia memberi maksud pergerakan imam mestilah mendahului makmum.
Sekiranya kita melihat hadis ini dari sudut pergerakan seorang makmum, maka ia memberi maksud pergerakan makmum mestilah seusai pergerakan imam.
Sekiranya kita melihat hadis ini dari sudut seorang pandangan mata, apakah dia dilarang secara mutlak (haram) untuk melihat selain dari tempat sujudnya? (namun digalakkan untuk melihat tempat sujud)
Tidak, ini kerana Nabi SAW berpesan agar melihat pergerakannya terlebih dahulu, maka ini bermakna para sahabat perlu melihat ke hadapan, melihat imam, bukan hanya tempat sujud. Sekiranya haram mutlak, nescaya Nabi SAW pasti akan melarang.
Sekiranya kita melihat dari sudut seorang keutamaan solat berdua atau ramai, maka hadis ini menunjukan keutamaan solat secara beramai-ramai. Ini kerana pesanan Nabi SAW ini disebut secara jama’ (plural) dan bukan mufrad (singular) atau muthanna (bermaksud dua).
Sekiranya kita melihat hadis ini dari sudut sikap yang perlu ada bagi umat Islam ialah sentiasa berda’wah samada dengan perilaku ataupun percakapan. Maka, berdasarkan hadis ini, berda’wah dengan menunjukan perilaku (ad-da’wah bil haal) akan lebih memberikan impak kepada sasaran da’wah.
Sekiranya kita melihat hadis ini dari sudut kenegaraan, seorang Perdana Menteri perlulah daripada orang yang bukan sahaja boleh memimpin rakyatnya dalam urusan seharian bahkan boleh memimpin rakyatnya menunaikan solat, mendidik rakyatnya agar sentiasa mendahulukan Allah.
Dan banyak lagi. Semuanya diambil dari hadis yang sama, cuma sisi pandang yang berbeza membawa kepada maksud yang lain. Ini bukanlah suatu kepelikan kerana al-Quran terangkum di dalamnya semua keistimewaan ilmu dan bahasa (جوامع الكلِم)
Samalah seperti melihat al-quran dari teropong sains. Ia bukan bermasud mentafsirkan al-quran, cuma melihat ayat al-quran dari sudut yang berbeza. Sebagai contoh

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيز

Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
(al-Hadid: 25)
Sekiranya diamati, banyak pentafsiran dari kitab-kitab tafsir menceritakan kelebihan besi dan penggunaannya untuk sembelihan dan peperangan.[4]
Namun, para saintis moden mendapati keajaiban surah ini.
Kedudukan surah ini (nombor surah dan nombor ayat) menceritakan komposisi besi dan penggunaannya untuk ilmu perubatan.[5]
Malangnya, semua penemuan sains ini terlebih dahulu dipelopori oleh saintis barat. Hasil kajian mereka akhirnya ditemui oleh orang Islam dan melihat keselariannya dengan mukjizat al-quran.
Satu muhasabah yang sangat penting untuk diinsafi oleh setiap muslim ialah kenapa umat Islam sendiri tidak mengeluarkan mukjizat-mukjizat yang ada di dalam al-quran untuk dikaji dan dikembangkan prinsip-prinsip di dalamnya?
Dengan mengamalkan KAIZEN.
TAQWA DALAM PENGURUSAN
Sekiranya diperhatikan pada ayat arahan taqwa di atas, kita akan mendapati Allah menekankan aspek pemahaman atau teori (inside in) dengan praktikal (inside out). Sebagai contoh:
Untitled-1

Hal yang sama juga para pembaca boleh dapati dalam ayat-ayat yang lain berkenaan dengan taqwa.
Sebagaimana ayat di atas, ayat ini juga mempunyai konsep teori (inside in) dan praktikalnya (inside out).
2
Penulis mengirakan konsep taqwa dengan ertikata mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan sudah diketahui umum dan penulis tidak berhajat untuk menghuraikan dengan panjang lebar di sini.
Fokus penulisan ini ialah bagaimanakah pengaplikasikan konsep taqwa dalam pengurusan organisasi berdasarkan ayat ini.
TAQWA DI DALAM KAIZEN
KAIZEN ialah penambahbaikan secara berterusan.
Benar, ayat di atas ada hubung kaitnya dengan KAIZEN. Secara ringkas maklumat berkenaan dengan KAIZEN yang diasaskan oleh Masaaki Imai (berasal dari Jepun) [6] ini adalah seperti berikut:
Bahkan pengamalan 5S yang banyak diamalkan di kebanyakan sektor kerajaan mahupun swasta di Malaysia adalah dari buah fikiran orang Jepun.
Shinkansen atau keretapi peluru (bullet train) adalah contoh hasil pengamalan KAIZEN dalam kehidupan mereka.[8]
Mereka tidak pernah berhenti dari sentiasa membuat penambahbaikan. Tetapi mereka sekadar memiliki dunia, dan meminggirkan akhirat. Tetapi sebagai muslim, wajarlah diambil nilai itu dan ditambah dengan nilai akhirat.
BAGAIMANA ISTIDLAL KAIZEN DI DALAM AYAT

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ ما قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِما تَعْمَلُونَ}

Persoalan yang barangkali timbul di benak fikiran pembaca ialah bagaimana cara huraian ayat ini jauh berbeza dengan huraian yang kebiasaan disampaikan oleh para asatizhah.
Bagaimana penulis boleh mengeluarkan huraian sebegitu daripada ayat di atas.
Pembaca sekalian, penulis dalam perbahasan ini akan memberikan fokus memahami ayat di atas dalam konteks pengurusan organisasi.
Dari itu, pembaca akan dapati konsep penulisan ini lebih menjurus kepada pengaplikasian kaedah tatabahasa Bahasa Arab berbanding menggunakan kaedah ma’thur dan membandingkannya dengan ilmu pengurusan organisasi.
HURAIAN ISTIDLAL
و: merupakan huruf ‘athaf kepada arahan sebelumnya. Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud menyambung (العطف) maksud ayat arahan berkenaan dengan taqwa dan juga membawa maksud spesifikasi arahan Allah (specific order) selepas arahan umum untuk bertaqwa.
ل pada perkataan لْتَنْظُرْ: adalah لام الأمر iaitu huruf ل yang membawa maksud suruhan. Memandangkan huruf ل ini merupakan sambungan arahan kepada suruhan taqwa, maka sebagaimana ka’edah yang diketahui umum, kata suruh membawa maksud wajib selagi tidak ada dalil yang lain mengubah maksudnya kepda maksud yang lain.
تَنْظُرْ: merupakan (فعل المضارع) yang membawa maksud kata suruh kerana bersambung dengan لام الأمر. Buktinya juga boleh dilihat pada penghujung perkataan ini yang hurufnya berbaris sukun (رْ).
Dari itu, amat wajar untuk amati kerana ia berbentuk cakapan terus (direct conversation atau (المخاطب. Sebagaimana analogi yang telah diberikan di atas, apabila Allah SWT memulai arahannya dengan panggilan dan diikuti dengan cakapan terus ((المخاطب ia memberi satu gambaran bahawasanya arahan yang bakal Allah berikan ini adalah sesuatu yang amat serius.
Di dalam ayat ini, Allah SWT menggunakan kalimah نظر berbanding بصر kerana faedahnya sangat besar khususnya dalam konteks organisasi. Maksud perkataan نظر dalam konteks organisasi ialah hendaklah kita membuat satu bedah siasat (post mortem) terhadap organisasi secara makro dan berbentuk prinsipal.
نَفْسٌ ما قَدَّمَتْ  : Di dalam entiti sesebuah organisasi, sumber tenaga kerja pakar amat diperlukan. Allah mengaitkan bedah siasat ini dengan kepakaran setiap sumber tenaga (نَفْسٌ). Ini memberi makna bahawasanya organisasi tersebut hendaklah melihat dan melakukan bedah siasat secara makro terhadap segenap elemen dalam pentadbiran tersebut samada sistemnya, atau guna tenaganya atau silibusnya atau prosedur operasi standardnya (standard operating procedure) dan lain-lain.
Hal ini boleh dilihat pada penggunaan perkataan ما di dalam ayat di atas. Sebagaimana di ketahui  umum, ما memberi maksud umum. Kejayaan sesebuah organisasi ialah kemampuan mereka memandu organisasi tersebut dengan memahami keseluruhan perjalanan organisasi tersebut seperti sistemnya dan keselarasan guna tenaganya.
Namun, organisasi adalah berkenaan dengan kemanusiaan dan manusia tidak akan terlepas daripada salah pandang (miss look) atau kelemahan pentadbiran. Dari itu, ikutilah saranan Allah Taala yang Maha Pengetahui segala, untuk duduk sebentar dan memandang ke belakang seketika untuk melihat kepada hasil sistem, silibus dan guna tenaga yang diguna dan dihasilkan setakat ini.
Para pembaca pasti pernah mendengar istilah penilaian separa penggal, separuh penggal, sepenggal, perkampungan (retreat), dan jawatankuasa penambaikan sistem. Semua ini membawa maksud yang sama iaitu melihat semula hasil perjalanan organisasi tersebut untuk dibuat penambahbaikan.
لِغَدٍ : huruf لِ di sini bukanlah memberi makna yang sama dengan huruf لِ sebelumnya. Ini kerana huruf ل sebelumnya membawa maksud arahan, namun huruf ل ini membawa maksud tujuan [9](التعليل). .
Itulah maksud bagi teori pengurusan pendidikan iaitu:
  1. pengurusan berdasarkan tujuan (management by objective),
  2. pengajaran dan pembelajaran berdasarkan jangkaan hasil (output based learning) dan
  3. analisa SWOT (SWOT analysis).
Semua teori-teori ini merupakan dapatan dan hasil eropah (barat) yang kita ambil kerana melihat kepada keberkesanannya. Alangkah indahnya sekiranya sekiranya teori ini hasil dapatan daripada umat Islam yang diambil daripada mu’jizat  al-Quran.
Maka, sebelum ini penulis menekankan keperluan kepada organisasi untuk membuat bedah siasat terhadap semua elemen yang ada di dalam organisasi. Persoalannya ialah untuk apa?
Apa tujuannya?
Tidak lain tidak bukan ialah untuk penambahbaikan masa depan atau memperbaiki kelemahan. Sebagai contoh (sekadar memberikan satu contoh sahaja) penulis tunjukan di bawah, bagaimana analisa SWOT (S: Strength, W: Weakness, O: Opportunity, T: Threat) adalah bagi penambahbaikan masa depan dan memberikan nilai tambah kepada masalah yang ada. Contohnya
4

Dengan sikap semua masalah harus dilihat secara positif dan kolektif, ia boleh membawa kepada satu inovasi yang baharu.
Kita sudah selesai membahaskan kepada keperluan membuat inovasi dan penambahbaikan, namun bagaimana pula kita hendak mencari hikmah di dalam al-Quran berkenaan penambahbaikan berterusan sedangkan di dalam ayat di atas tidak disebut.
Penulis tidak berhajat untuk membahaskan dari sudut usul fiqhnya هل الأمر يفيد التكرار أم لا؟ kerana ini bukan ruang untuk membahaskan tajuk tersebut.
Apa yang penulis ingin sentuh ialah pemahaman dalam teks itu sendiri menyentuh berkenaan penambahbaikan berterusan.
Sekarang pembaca sudah faham bahawasanya dalil menyuruh untuk umat Islam melakukan muhasabah (post mortem) dan membuat inovasi sudah jelas.
Nah, sekarang apa dalilnya pula muhasabah dan inovasi ini harus dilakukan secara konsisten?
Mana dalil kaizennya?
إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِما تَعْمَلُونَ : خَبِيرٌ ialah lafaz  صيغة مبالغة yang membawa maksud bersangatanlah mempunyai pengalaman dan keilmuan.
Dan kalimah ini Allah SWT kaitkan dengan perkataan ما yang sudah kita bahaskan tadi dan kalimat تَعْمَلُونَ yang disebut dengan lafaz مضارعة (present and future tense). Ini memberi satu indikasi bahawa Allah SWT akan sentiasa memerhatikan setiap penambahbaikan yang dibuat oleh organisasi tersebut samada sedang atau yang akan dibuat dan Dia Maha Pengetahui hasil (output) yang akan terhasil daripada setiap perancangan kita.
Allah SWT tidak menggunakan perkataan العليم atau البصير kerana perkataan خَبِيرٌ   lebih menepati maksud dan lebih diperlukan dalam ruang pengurusan organisasi.
خَبِيرٌ ialah sangat mempunyai pengalaman. Persoalannya kenapa Allah menggunakan perkataan ini?
Pengalaman merupakan ilmu yang paling berharga dalam sektor ini. Perhatikan sahaja khususnya dalam sektor swasta, sekiranya pengalaman menggunung, pastinnya gaji yang ditawarkan akan menggunung. Ini adalah harga bagi kepakarannya dan pengalamannya.
Bukan hanya mempunyai ilmu teori sahaja.
Seorang yang pakar dan mempunyai pengalaman yang sangat banyak, sudah mengetahui sekiranya berbuat begini dan begini pastinya hasil akan jadi begini. Tetapi sekiranya berbuat dengan cara lain pula, akan jadi begini.
Sekiranya menggunakan baja itu, ini dan ini pastinya hasil akan jadi begitu dan begini.
Berdasarkan pengalamannya
Bagi renjer hutan yang sangat berpengalaman, dia pasti sudah tahu sekiranya pokok itu menunduk sebegini, atau menegak sebegitu, itu memberikan petanda sesuatu.
Berdasarkan pengalamannya.
Allah sudah mengetahui apa yang sedang dan akan kita rancangkan. Dan Dia memerhatikan dengan penuh maha berpengalaman.
Perumpamaannya manusia, sekiranya bos senantiasa akan datang memerhatikan kerja dan penambahbaikan yang kita buat, apakah kita akan biarkan gerakerja kita statik tanpa ada perubahan?
Beranikah malas nak buat inovasi?
Bahkan.
Dari itu, ayuh kita sentiasa membuat penambahbaikan dan ber-KAIZEN.
Kerana ia merupakan KPI kepada orang bertaqwa.


—————————————————–
[1] Dengan maksud literal iaitu mengamalkan sistem pemerintahan yg dijalankan oleh para pentadbir. Kamus DBP edisi ke empat.
[2] Untuk catatan, semua kitab tafsir (setakat semakan penulis) menghuraikan ayat ini berkenaan kewajipan bertaqwa yang akan dihisab di hari akhirat nanti. Pembaca boleh merujuk kitab Mafatih al-Ghaib oleh Imam Fakhruddin ar-Razi 29/511, Madarik at-Tanzil Wa Haqaiq at-Ta’wil oleh Imam Hafizuddin an-Nasafi 3/462, Tafsir al-Quran al-‘Azhim oleh Imam Ibn Kathir 8/77 dan at-Tahrir Wa at-Tanwir oleh Sheikh Muhammad Thahir bin ‘Asyur 28/110-112.
[3] Sahih: Sahih Bukhari nombor 595
[4] Tafsir Ibn Kathir 8/27-28, Tafsir al-Jalalain oleh Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaluddin as-Suyuthi 1/723, Tafsir al-Maraghi oleh Ahmad Mustafa al-Maraghi 27/183.
[5] http://www.harunyahya.com/articles/70miracle_of_iron.php
[7] http://www.valuebasedmanagement.net/methods_kaizen.html
[8] Pembaca yang berminat boleh melayari alamat laman sesawang di bawah:
[9] Kitab at-Tahrir Wa at-Tanwir oleh Sheikh Muhammad Thahir bin ‘Asyur 28/111.

No comments:

Post a Comment