Monday 3 March 2014

ATOM ANTARA LEDAKAN DAN KEBENARAN AKHIR ZAMAN


Neutron = udd; [(2/3) + (-1/3) + (-1/3)]e
Proton = uud; [(2/3) + (2/3) + (-1/3)]e
Upquark = cas + ; (2/3)e
Downquark = cas – ;(-1/3)e


Sejarah telah mencatat betapa perkembangan dan aliran pemikiran tidak dapat dihalang oleh benteng kemajuan sama ada ia datang dari kelompok jamaah, aliran, atau perubahan zaman tetap Islam dapat masuk dalam segenap penjuru bagaikan air yang mengalir andai ia dihalang oleh benteng atau tembok  yang besar pasti tembok itu akan musnah dan dapat dipecahkan. Begitu juga dengan perkembangan serta penemuan teori-teori sains dan teknologi membuktikan lagi kebenaran yang dulunya kelihatan samar dek insan yang enggan berfikir dan mengkaji tentang keluasan ilmu pengetahuan lantas akal jumud dalam menilai dan melihat teks(wahyu) dalam realiti yang sebenar.

Dr Maurice Bucaille ketika membahas berkenaan Quran dan Bible dalam bukunya yang bertajuk The Bible, The Quran and science berkata “ Wujud perbezaan antara Quran dan Bible semasa membicarakan tentang alam semesta lantas kedengaran dari kaum orientalis barat mengatakan bahawa Muhammad SAW  mencedok ilmu dari Bible lalu kenyataan ini kata beliau adalah kenyataan yang penuh dengan penipuan dan tuduhan yang tidak berasas  kerana mana mungkin insan yang hidup 1400 tahun yang lalu membicarakan ilmu yang berkaitan dengan alam semesta . Justeru, dapat dibuktikan dengan kajian-kajian saintifik dan ianya terbukti benar.[1] Ini sinonim dengan firman Allah yang bermaksud dalam surah Ali Imran ayat 190-191
“sesunggunya dalam menciptakan langit dan bumi dan silih berganti antara malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulil Al Bab(orang yang berfikir) iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun dalam keadaan berbaring  dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi."

Betapa dalam ayat di atas Allah Azza wa jalla memaparkan bahawa  penciptaan langit dan bumi merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT andai direnung dengan hati lalu dikaji dengan jiwa dan akal pasti tersingkap sejuta rahsia, terjawab persoalan dan terbuka seribu hikmah. Hal ini seperti mana yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir didalam Kitab beliau Tafsir Al Quran Al Azim menyatakan “ Sesiapa yang mengamati atau mengkaji langit yang luas dan bintang-bintang, bulan dan matahari yang beredar diatas paksinya tanpa henti , kemudian merenung laut yang mengelilingi tanah daratan, kemudian memerhatikan bumi serta gunung-ganang yang terpancar diatasnya, lalu mengkaji haiwan dan tumbuhan pasti akan memperolehi bukti mengenai kewujudan Tuhan yang maha pencipta, maha Agung dan maha Bijaksana". Rentetan itu, penulisan kali ini membawa para pembaca ke satu sudut yang agak luas demi mengaitkan unsur yang ada dalam Atom serta memadukan nas-nas akhir zaman supaya bertambah lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Firman Allah:
وسيرت الجبال فكانث سرابا
Maksudnya: dan gunung-gunung setelah dihancurkan, diterbangkan diangkasa. Lalu menjadikan ia bayangan semata-mata seperti (fatamorgana) sinaran panas dipadang pasir…

0.2 ATOM = ZARAH 
Sebelum perkembangan sains dan teknologi Atom mula dikenali oleh masyarakat Yunani ( 5 S.M) sehinggakan para sarjana mengaitkan Atom berasal daripada perkataan Yunani iaitu Atomos yang bererti “tidak terpecah”  maka perkembangan sains membawa penemuan baru ketika mana penemuan keradioktif oleh  Anton Henri Bequerel seorang ahli Kimia membuktikan atom tersusun atas partikel-partikel yang lebih kecil lagi(zarah-zarah) iaitu electron[2],proton[3] dan neutron[4] sekaligus menyangkal pandangan yang mengatakan  atom bola kecil yang tidak boleh dipecahkan atau tidak terpecah. 

Z: nombor Atom=jumlah electron(e)= jumlah proton(p)

Sebenarnya penulis tidak bertujuan mengajak para pembaca membahas unsur Atom dengan lebih mendalam memadailah hanya disebut secara umum atau gambaran kerana penulis yakin bahawa para pembaca maklum berkenaan unsur dan kegunaan Atom. Seterusnya, atom dalam bahasa Arab ialah Zarah dan begitu juga perkataan Zarah turut digunakan dalam Al Quran. Seperti mana Firman Allah dalam Al Quran:

ُ فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْراً يَرَهُ- وَمَن يَعْـمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرّاً يَرَهُ
Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun  nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barang siapa melakukan kejahatan seberat zarah pun dia akan melihatnya (Surah Zalzalah ayat 7-8)

Allah Berfirman lagi disurah Yunus ayat 61
وَمَا يَعْزُبُ عَن رَّبِّكَ مِن مِّثْقَالِ ذَرَّةٍ فِي الاٌّرْضِ وَلاَ فِى السَّمَآءِ وَلاَ أَصْغَرَ مِن ذَلِكَ وَلا أَكْبَرَ إِلاَّ فِى كِتَابٍ مُّبِينٍ

Bermaksud: Dan tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau di langit tidak ada yang lebih kecil dan besar melainkan semua tercatat dalam kitab yang nyata  (lauh  mahfuz).

Betapa hebatnya Islam dan benarnya Al Quran apabila Atom ataupun Zarah yang baru ditemui oleh teknologi hari ini tetapi telah disebut oleh Al Quran ketika 1400 tahun yang lepas. Lalu, adakah hati kita masih ragu tentang kebenaran Al Quran? Atau keimanan kita tidak bertambah ketika membaca kalimah-kalimah keramat dari Quran? Andai hati masih ragu itu petanda hati telah mati dan perlu dirawat sebelum matahari enggan menerangi sinarnya di pagi hari. Ini sepertimana yang dikatakan oleh Dr Giry Miller dalam bukunya yang bertajuk  The Amazing Quran:
“Seperkara yang mengejutkan golongan yang bukan Islam selepas mereka mengkaji Quran adalah ia tidak seperti apa yang mereka jangkakan, bagi mereka Quran adalah sebuah Kitab tua yang datang dari padang pasir Arab yang berumur lebih 14 abad. Justeru, mereka berpandangan pasti isinya juga turut tua seperti umurnya atau memandangkan ia datang dari padang pasir pasti banyak cerita-cerita dari padang pasir. Tetapi ternyata sangkaan mereka tersasar apabila Quran adalah sebuah Kitab yang mampu dikaji dengan kajian saintifik dan berbeza dari kitab-kitab agama yang lain. Malah Quran mampu menyahut cabaran dari ahli-ahli sains kerana konsep sains pada hari ini bermanhajkan (metod) bukti dan mampu diuji dengan ujian yang saintifik. Lalu, andai ada teori tetapi tiada bukti maka teori itu akan diabaikan kemudian pakar-pakar sains tidak akan mempedulikannya. Quran sanggup diuji atau dianalisa bagi membuktikan ia adalah benar kerana 1400 tahun yang lalu hingga kini tiada siapa pun yang dapat membuktikan kepalsuan Quran dan ini membuktikan Quran adalah kitab dan petunjuk yang benar.”

Selain itu, para sarjana Islam tidak ketinggalan juga dalam memberi dapatan kajian (ulasan) berkenaan persoalan Atom yang dilihat agak luar biasa bahkan ianya sangat berkait rapat dengan khabar yang di firman dalam Al Quran tentang hari kehancuran itu. Antaranya ialah, Hatif Al Ashfani (wafat 1784 H) yang membenarkan teori Farid Al Athar bahawa pada zarah terdapat satu kuasa yang luar biasa (energy) andai dibelah atau di gegarkan  maka akan terhasil Matahari. Begitu juga, Dr Ali Mustafa Musyarrafah yang telah membahas Atom dan bom Atom dalam kitabnya Adzzarratul Walqara Biluzzariyyat (Atom dan bom Atom) yang menyatakan keyakinan bahawa di dalam zarah terdapat energy dan ini dikukuhkan lagi oleh Albert Einstein yang menjelaskan persamaan E=mc2 yang mengungkapkan bahawa zarah mengandungi energy dalam jumlah yang besar maka andai struktur itu di goncang lalu energy tersebut akan terbebas lantas berlaku ledakan yang agak luar biasa.

Sekali lagi penulis ingin mengajak para pembaca melihat teori-teori Ahli sains berkenaan atom ataupun zarah seperti yang penulis jelaskan di atas sama ada ia dari ilmuan Islam atau Barat pasti penulis yakin dan percaya pembaca akan menemui perkataan dan teori ini “zarah mengandungi energy dalam jumlah yang besar maka andai struktur itu di goncang lalu energy tersebut akan terbebas lantas berlaku ledakan yang agak luar biasa”(Albert Einstein) atau “di dalam zarah terdapat satu kuasa yang luar biasa (energy) andai dibelah atau di gegarkan  maka akan terhasil Matahari” (Hatif Al Ashfani). Semua ledakan itu berlaku bermula dengan gegaran yang dahsyat dan ini sesuai dengan firman Allah:

يَوْمَ تَرْجُفُ الرَّاجِفَةُ - تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ
Yang bermaksud: pada hari tiupan pertama menggoncangkan (menggegarkan) alam. Tiupan pertama itu mengiringi tiupan kedua. (An naziat 6-7)
 
Firman Allah lagi:
إِذَا زُلْزِلَتِ الاْرْضُ زِلْزَالَهَا- وَأَخْرَجَتِ الارْضُ أَثْقَالَهَا- وَقَالَ الإِنسَـنُ مَا لَهَا- يَوْمَئِذٍ تُحَدّثُ أَخْبَارَهَا- بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَى لَهَا- يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتاً لّيُرَوْاْ أَعْمَـلَهُمْ- فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْراً يَرَهُ- وَمَن يَعْـمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرّاً يَرَهُ

Maksudnya: Apabila bumi digoncangkan (digegarkan) dengan gegaran yang dahsyat. Dan bumi mengeluarkan beban-beban yang ada di dalamnya. Lantas manusia bertanya (mengapa bumi jadi begini). Pada hari itu bumi menceritakan beritanya, kerana Tuhanmu telah memerintahkan itu padanya. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam, supaya diperlihatkan kepada mereka balasan pekerjaan mereka. Dan barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah pun pasti akan dibalas. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya akan dibalas. (Zalzalah 1-8)

Subhanallah, penulis yakin bahawa pembaca akan melafazkan tasbih (Subhanallah) tanda kagum dengan nas yang penulis kemukakan di atas kerana ia sangat bertepatan dengan teori-teori para sarjana sains apabila Allah mengaitkan gegaran dan goncangan dengan ledakan atau kemusnahan hari Kiamat.


0.4 GEGARAN SATU LEDAKAN  ADALAH KEBENARAN KIAMAT

Betapa hebatnya Islam ataupun Quran tidak hanya berbicara dengan nada yang ilmiah tetapi berbicara juga dengan nada yang syahdu serta menggegarkan jiwa dan iman apabila Quran menunjukkan kita mukjizat yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Menunjukkan Islam sentiasa berada dalam posisi yang selari dengan zaman. Sementara itu, suka penulis membahas pengertian surah Al Zalzalah dari perspektif sarjana tafsir untuk mentadabbur (menghayati) dan melihat dengan hati berkenaan hari kehancuran itu.

ِذَا زُلْزِلَتِ الاْرْضُ زِلْزَالَهَا
Maksudnya : apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat

perkataan اذ dalam ayat di atas mengikut grammar bahasa Arab (nahu) sering digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang pasti berlaku yang mana menunjukkan goncangan itu seperti yang dinyatakan pada ayat di atas pasti akan berlaku pada masa akan datang. Seterusnya, kalimah Alif lam dalam Al ardh(الاْرْضُ) menunjukkan kesemua dan berbentuk umum iaitu mencakupi semua wilayah bumi ini iaitu gempa ataupun gegaran akan berlaku di segenap tempat,lapangan dan kawasan. Berbeza apa yang berlaku hari ini yang mana gempa hanya di tempat-tempat yang tertentu manakalah pada hari menjelang kiamat seluruh wilayah ataupun tempat akan mengalami gegaran yang sangat dahsyat.

Meskipun pembahasan ini seperti pembahasan falsafah tetapi andai dihayati tentu saat ini pembaca akan menitiskan air mata keinsafan atas kelalaian hidup di dunia yang penuh senda gurau dan perhiasan sahaja tanpa memikirkan kehidupan setelah mati. Manakala ketika Ibnu katsir menggambarkan tentang gegaran dan goncangan ataupun gempa pada hari kiamat dengan analogi yang mudah difahami :

 “Gegaran pada hari kiamat seperti tanah segenggam lalu diletakkan di atas sebuah tikar kemudian tikar itu ditarik dengan kuat pasti akan menunjukkan tanah berterbangan serta menjadi rata”[5].
Tambah Ibnu Katsir lagi,
“Pada hari itu, bumi bergoyang hebat lalu menggoyangkan penghuninya. Maka wanita yang menyusu tidak peduli dengan anak yang disusuinya serta wanita yang hamil keguguran. Seterusnya, anak-anak kecil pada ketika itu beruban lantas seluruh penduduk bumi lari ketakutan untuk menyelamatkan diri”

Betapa dahsyatnya kemusnahan pada hari itu serta menunjukkan lagi kaitan antara teori Atom yang ditemui saat ini apabila Quran mengaitkan gegaran dan kehancuran dengan zarah seperti yang dinyatakan di awal surah Al zalzalah dan akhir surah Al Zalzalah :

ِذَا زُلْزِلَتِ الاْرْضُ زِلْزَالَهَا
Maksudnya : apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat (zalzalah ayat 1)

Firman Allah:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْراً يَرَهُ- وَمَن يَعْـمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرّاً يَرَهُ
Maksudnya: sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah pasti akan mendapatkan balasan. Dan sesiapa melakukan amal kejahatan seberat zarah pun pasti akan mendapat balasan. 
(zalzalah 7-8)

Dulu insan kurang menduga adakah kehancuran akhir zaman itu terjadi sehinggalah masa dan perkembangan zaman menjelaskan semua persoalan apabila teknologi dan penemuan teori saintifik hari ini membuktikan bahawa Al Quran itu benar serta menguatkan lagi keyakinan untuk bertuhan..

Ahli fizik yang terkenal Marcel Schein menemukan penemuan dan teori baru berkenaan Atom yang mana kata beliau proton mempunyai lawan dan tenaga yang bertentangan serta apabila bersentuh proton dengan anti proton maka keduanya saling menghancurkan kerana didapati anti proton dapat menghancurkan unsur-unsur proton kesannya bumi juga akan hancur.

Penemuan ini, menyebabkan Dr Hamka memberi komentar dalam kitabnya falsafah ketuhanan iaitu “ kalau selama ini agama mengajarkan bahawa kiamat akan terjadi. Maka dengan majunya pengetahuan dapat menyingkap falsafah hidup dan teori Marcel Schein menghilangkan keraguan selama ini tentang kiamat.

0.5 PENUTUP
Saat kiamat adalah saat yang akan terjadi dan ia adalah aqidah yang harus dipegang oleh semua kaum muslimin dan tanda-tanda kiamat yang dikhabarkan 1400 tahun yang lalu telah  menjelma sama ada tanda-tanda itu berbentuk kecil atau besar yang pasti tanda itu telah wujud dan semakin hari tanda-tanda yang lain pasti akan datang walaupun tidak diundang. Oleh itu marilah kita menyedari hakikat hidup dengan menginsafi bahawa kehidupan yang zahir dek mata hanya sementara kerana dunia adalah tempat bercucuk tanam untuk dituai di Akhirat yang kekal abadi.

Selain itu, kekalutan hari ini dengan jatuh bangunnya Islam, kezaliman bermaharajalela dan cuaca yang tidak menentu meyakinkan lagi tentang hari kiamat semakin dekat lantas ramai para ulama mencari nas akhir zaman untuk memulihkan ummat yang sedang tenat. Oleh itu, sahutlah saranan Nabi jangan ditanya kiamat bila tetapi tanyalah apa persediaan kita menghadapi hari kemusnahan itu..

Allah berfirman dalam surah Al-A’raaf ayat 187 :

Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba". Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui".

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab 63 :
 
Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah". Dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.

--------------------------------------------
nota kaki:

[1] Dr Maurice Bucauille adalah seorang pakar bedah yang terkenal dari perancis dan seorang pengkaji.
[2] electron ditemukan oleh Joseph john thomos
[3] Proton ditemukan oleh Ernesth Ruthoford
[4] Neutron ditemukan oleh James Chadwick
[5] Ibnu Katsir dalam kitab Tafsir Al Quran Al Azim

Wallahualam
Rahmat Islah

(Artikel ini telah dibaca oleh 336 pelawat)

No comments:

Post a Comment