Tuesday 8 April 2014

Ada apa dengan cinta

ADA APA DENGAN CINTA

“Aku mencintaimu kerana agama yang ada dalam dirimu, andai agama itu hilang maka cinta ku juga turut hilang” (Imam Nawawi)

      Persoalan cinta adalah persoalan yang melibatkan rasa dan perasaan, hati dan jiwa, serta pengorbanan dan kekuatan. Kerana cinta wujud disetiap diri insan untuk menggambarkan bahawa cinta adalah natural (fitrah) insani untuk membentuk nilai-nilai seorang manusia. Ada insan harinya dipenuhi rasa sepi dan gelisah kerana kadang-kadang perasaan cinta mula hadir dalam diri, meski tidak mengerti dari mana ia datang, kenapa ia datang dan mengapa ia hadir untuk menghantui diri. Bukan aneh jika di tengah gelapnya malam serta dalam kesibukan manusia, terdapat insan yang sedang berada dalam duka dan sengsara berjuang untuk menahan rasa dan perasaan yang hadir tanpa diundang, sehinggakan air mata mengalir deras meski tampak senyum dek zahir. Betapa perjuangan cinta yang hadir dalam diri adalah perjuangan yang murni bagi memenuhi kepuasan diri yang akhirnya membawa cinta yang sejati.

      Ketahuilah, sesungguhnya Islam bukan sekadar cosmetic yang mana intipatinya jauh dari istilah yang digambarkan, begitu juga dengan persoalan cinta yang tidak mahu dilihat secara literal (luaran) semata, seperti cinta islamik atau lafaz (perkataan) cinta kerana Allah. Ini sinonim dengan kata Prof Tariq Ramadan dalam Radical Reform, dengan menolak pengistilahan yang dikaitkan dengan Islam seperti Islamic economy, Islamic politic dan Islamic medicine. Tambah beliau lagi,  sebenarnya tiada pengertian Islamic economy dan yang ada hanyalah etika Islam dalam ekonomi[1] begitu juga dalam persoalan cinta yang mana tiada istilah Islamic love yang ada etika atau cara bagaimana bercinta cara Islam. Bukan tujuan penulis untuk membahas berkenaan ekonomi, tetapi untuk memberi analogi (mantiq) bahawa cinta bukan hanya dilafaz atau pengistilahan semata tetapi cinta adalah perasaan yang hadir di hati untuk menggambarkan nilai kasih insan, sehingga terbit pengorbanan dan kesetiaan (wala) dalam diri.

Oleh itu, akhirnya dalam metod penulisan ini para pembaca akan mengenal cinta yang hakiki, kerana perluh diketahui bahawa cinta adalah rahsia dalam diri untuk mengenal Sang pencinta seperti mana yang dikatakan oleh ahli tasawuf .[2]

“Diri ini penuh dengan rahsia kerana andai engkau mampu membongkar rahsia diri pasti engkau akan kenal Tuhan mu, kenalilah diri mu nescaya engkau akan mengenal Tuhan mu”




CINTA
Seorang sarjana Arab bermadah dalam syair :
لا تظلمو العشاق يا قومي فما         أبصرت غير مسارح الفساق
ودعو اتعهود فما وجدت لمدع         في الحب من عهد ولا ميثاق
الحب ما صرفا القلوبا الي الهوا       وسما الي الجوزاء بالاحداق

Maksudnya :  "Janganlah kamu menggelapkan lamunan cinta wahai kaum ku, kerana aku tidak melihat selain pentas kerosakan .
Usah kalian mempercayai mereka ini kerana mereka hanya menipu dengan mendakwa cinta dengan janji-janji dusta.
Cinta tidak mendorong hati kepada keinginan nafsu namun sebaliknya cinta adalah piagam mulia.”[3]

      Sebenarnya ramai yang keliru atau celaru dengan hakikat cinta, lantas kerana kekeliruan dengan hakikat cinta maka terbitlah penafsiran yang menyimpang (maudhu) sehinggalah pengertian cinta disalahgunakan mengikut penilaian nafsu semata. Selain itu, tidak kurang juga ada insan yang menolak sifat fitrah dengan mencampakkan perasaan cinta lalu menganggap dengan cara membuang perasaan ini maka mereka adalah insan yang suci serta maksum dari kecacatan insani. Sebenarnya, bukan penulis ingin menyentuh soal sensitiviti agama yang berkaitan dengan Paderi atau Sami kerana menurut tradisi agama Kristian atau hindu bahawa mereka menganggap dengan mencampakkan (membuang) perasaan cinta yang hadir dalam dalam diri dengan cara menahan diri dari kahwin menunjukkan mereka adalah suci.

     Berbeza dengan tradisi Islam yang mengangkat nilai fitrah dan mempercayai bahawa cinta adalah fitrah kepada manusia yang harus diiktiraf, dan mengajar kepada penganut Islam bahawa cinta berhubung dengan hati dan jiwa, serta dengan cinta juga melahirkan kuasa (power) kepada nilai insani. Sepertimana Allah berinteraksi dengan manusia melalui firmannya dalam surah Al Hujurat ayat 10 :

ِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَ
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara”

Ikatan persaudaraan adalah ikatan cinta yang hadir dalam tradisi Islam sehinggakan termeterai dalam Al Quran iaitu sifat saling mencintai adalah tuntutan aqidah bahawa tidak beriman seseorang muslim andai tidak mengasihi saudaranya[4]

Firman Allah :
“Muhammad adalah rasulullah dan orang-orang beserta Muhammad itu mempunyai sifat keras (tegas) terhadap kaum kafir tetapi saling mengasihi (mencintai) sesama kaum mukmin. (Surah Fath 29)

Seorang sarjana bermadah dengan tajuk syairnya “Hidup Berdiri Atas Cinta”

Dari akar mekar rasa cinta
Lahirlah jiwa mesra dan manja
Dari akar mekar rasa cinta
Bahagia sengsara menjelma
Dari akar mekar rasa cinta
Muncul tawa dan air mata
Betapa hakikat cinta merupakan keperluan yang hadir sebagai nada yang syahdu dalam diri insani untuk menunjukkan pengertian cinta yang harus dilihat dari sudut nilai manusiawi, andai kita melihat kepada syair-syair ataupun lirik lagu pasti kita akan menemui elemen cinta yang hadir dan diketengahkan bertujuan untuk menyentuh hati para pendengar. Begitu juga dengan para filosof atau ahli sufi banyak menggunakan unsur cinta dalam citrah da’wah untuk menarik hati insan kembali menghayati Islam.




CINTA VS MAHABBAH
Cinta yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia berbeza dengan cinta yang berhubung dengan Tuhan, pengertian cinta sesama manusia menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Management,cinta ialah :

“Cinta adalah perasaan jiwa dan gejolak hati yang mendorong seseorang untuk mencintai kekasihnya dengan penuh ghairah, lembut dan kasih sayang. Cinta adalah fitrah manusia yang murni yang tidak terpisah dari kehidupan, jika seseorang ingin menikmati cinta dengan cara terhormat, suci dan mulia tentu dia akan mempergunakan cinta itu untuk mencapai keinginan cinta yang mulia pula”

       Persoalan yang acap kali remaja persoalkan adakah haram bercinta?, secara peribadi saya tidak setuju dengan pengharaman bercinta, kerana bagi saya persoalan feqah harus berkaitan dengan da’wah iaitu apabila memberi jawapan tanpa melihat kepada situasi dan keadaan semasa ummat Islam dalam Negara, maka kita khuatir andai kita menghukum haram sedangkan tiada nas pengharamannya akan melahirkan hakim berbanding da’ie sedangkan Islam itu penuh dengan penyelesaian (alternatif).
Manakala cinta atau mahabbah dalam bahasa arab berasal dari perkataan “ahab, yahibbu, atau mahabbatan” iaitu secara harfiah bermaksud mencintai secara mendalam atau kecintaan yang sangat mendalam[5] Selain itu, dalam Al mu’jam Al’falasafi  jamil salibah mengatakan bahawa mahabbah adalah perkataan lawan kepada Al bughd iaitu cinta lawannya benci.

     Maka dalam tradisi Islam kecintaan itu harus diberikan sepenuhnya kepada Allah dan Rasul sebelum mencintai sesuatu lebih-lebih lagi cinta kepada kekasih, kerana kita harus yakin bahawa andai kita mencintai Allah dan rasulnya pasti kita akan ditemukan kepada insan yang mencintai Allah, dan Allah tidak akan membiarkan insan yang cinta kepada Allah jatuh cinta kepada insan yang tidak mencintai Allah. Seterusnya, menurut Harun Nasuton seorang serjana Islam berpendapat.

“Pengertian Mahabbah adalah cinta kepada Tuhan semata, dan tambah beliau lagi ia mempunyai tiga prinsip.
1.      Mematuhi setiap peraturan Tuhan dan membenci larangannya
2.      Menyerah segala Din (agama) kepada yang dikasihi
3.      Mengosongkan hati dari semua perkara kecuali dari yang dikasihi, iaitu Tuhan

Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 31

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Katakanlah wahai Muhammad,  jika benar-benar kamu mengasih Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasihani.

Ini bersesuaian dengan fahaman Sahl Abdullah bahawa mahabbah (cinta) adalah kesesuaian hati yang sentiasa tetap dengan Allah SWT dengan berzikir  hingga menemui kelazatan bermunajat kepada Allah swt serta meneladani Rasulullah untuk mendekati Allah dengan sepenuh hati.[6]
Bagi Dr. Hamka pula, mahabbah tanpa pembuktian dan pengorbanan adalah palsu. Hamka berkata ketika menafsir ayat Al Quran yang penulis kemukakan di atas iaitu surah Al Imran ayat 31:

“Tetapi cinta dalam ucapan sahajapun tidaklah cukup, bahkan cinta hati tidak diikuti pengorbanan tidaklah cukup menyatakan cinta. Padahal lisan dan hati serta amalan sering berbeza. Andai itu terjadi maka itu adalah cinta palsu. Allah tidak menyukai kepalsuan. Apabila kamu mencintai sesuatu tentu keinginan kamu adalah keinginan dia. Apatah lagi cinta kepada Allah, apabila kamu mencintai Allah maka fanalah keinginanmu sendiri kerana lebur dalam kecintaannya. Nescaya bertaubat kamu hanya satu dan Dia saja ingatanmu, andai berbelah bagi ketaatanmu maka palsulah cintamu.”

Penafsiran diatas menunjukkan bahawa Dr. Hamka cuba membawa kita untuk menggilap hati untuk menyerahkan segala kehendak diri kepada kekasih iaitu Allah, maka mahabbah dalam perspektif Hamka adalah membersihkan jiwa sehingga melahirkan cahaya di dalam hati, dan mahabbah tidak akan terjadi andai ia tidak digilap terlebih dahulu seperti menggilap intan dan permata.

 Al Hafidz Ibnu Katsir (Wafat 774) :
“Surah Ali Imran ayat 31 ini adalah pemutus (hakim) kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan Muhammad SAW, maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwanya sehinggalah dia mengikuti syariat Nabi Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataan, perbuatan dan hal ehwalnya seperti yang pasti dalam Sahih Bukhari daripada Rasulullah “Sesiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak diatas petunjuk kita, maka ia tertolak”[7]

Untuk cinta kepada Allah tiada cara lain selain mengikut petunjuk Al Quran dan Hadith, ijma sahabah dan ijma ulama, tanpa ada amalan yang ditambah (bid’ah) dalam ibadah.

    Akhir sekali, suka penulis berkongsi cerita iaitu, pada suatu hari seorang cendikiawan Islam yang mempunyai seorang pembantu yang selalu mendirikan solat malam. Lantas dia menegur pembantunya dengan berkata :

“Sembahyang malam kamu akan mengganggu kerja kamu pada esok hari”

Lalu pembantu itu menjawab dan berkata :
“Apakah yang perlu saya lakukan? Bila saya teringat syurga, maka rasa rindu amat panjang, dan bila saya teringat neraka, maka rasa takut menjadi-jadi. Bagaimanakah saya boleh tidur sedangkan saya berada antara rasa takut yang selalu mengikut saya dan rasa rindu yang membuat hati saya gelisah”[8]

       Betapa cinta adalah pengikat hati untuk merindui Sang kekasih dan rasa takut adalah benteng untuk terus menghampirinya agar tidak melakukan benda yang dilarang, serta pengharapan adalah nilai cinta yang sejati untuk menunggu balasan cintanya.




Nota kaki
____________________-
[1] Tariq Ramdhan dalam bukunya Radical Reform.
[2] Petikan dari kitab Falsafah Hidup Dr. Hamka.
[3] (Qasidah atau syair rehla a basatun – perjalanan yg muram) karangan Sheikh Ahmad Muhram Bin Hassan Afandy Abdullah.
[4] Hadith riwayat BukhariBukhari.
[5] Mahmud Yunus – kamus Arab.
[6] Abu nasr Al Sarraj Al Tusi (1960)  Al luma Mesir ketika berbahas berkenaan mahabbah.
[7] Ibnu Katsir Tafsir Al Quran Al Adzim 1/366 Beirut : Dar Al Maarifah.
[8] Cerita yang dipetik dari kitab NAFAHAT AL-JUMAAH  karangan Imam Dr Yusuf Al Qharadawi.

(Artikel ini telah dibaca oleh 385 pelawat)



2 comments:

  1. Assalamualaikum Ustaz mohon izin untuk kongsikan dan simpan entry ini. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. silakan.... syukron juga sebab sudi baca

    ReplyDelete