Wednesday 21 May 2014

ZAKAT DAN JIHAD ISLAMI

Pendahuluan


الحمدلله الذي أرسوله باالهد ودين الحق ليظهره علي الدين كله وكفى بالله وكيلا.
اشهد ان لأاله الاالله الذي فرض علينا بالصدقات وجعلها من أعماد الدين واصلاح الأمة,.
واشهد أن سيدنا وحبيبنا محمد عبده  ورسله أرسله الله سبحانه وتعالى بشيرا ونذيرا ودعيا الى الله  باءذنه وسراجا منيرا

Kalimah zakat dan jihad merupakan dua kalimah yang memberi pengertian tentang kewajipan setiap muslim yang berkeupayaan dan mampu melaksanakannya. Kedua-duanya merupakan tugas kembar yang tidak mungkin dipisahkan.
Pada zaman Khalifah Abu Bakar r.a mereka telah berjihad dalam memerangi golongan yang ingkar membayar zakat dan dalam masa yang sama mereka telah menggunakan zakat sebagai perbelanjaan dalam melaksanakan jihad. Keadaan yang sama telah dilakukan oleh para Khalifah dan ketua-ketua Negara Islam selepas mereka.
Perbincangan tentang zakat hendaklah dilihat secara menyeluruh ke atas sudut-sudut penting yang berkaitan dengan keperluannya.

1) Dari sudut ibadat:
Zakat merupakan salah satu dari ibadat utama yang empat iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji. Bahkan kita dapati kalimah zakat sentiasa mengiringi atau mengekori kalimah solat dalam
kebanyakan ayat Al Quran:

وأقيموا الصلاة و اتو ازكاة

Maksudnya : Dan dirikanlah solat serta keluarkanlah zakat…..

Ekoran dari itu, Ulama Fiqh pula turut menjadikan tajuk perbincangan zakat selepas perbincangan solat atau sembahyang.

2) Dari sudut sumber kewangan Negara Islam
Zakat merupakan sumber asasi bagi tabung kewangan Negara islam, di mana zakat yang dikeluarkan kepada Negara islam merupakan ibadat yang mutlak, bahkan ianya sebahagian dari sistem ekonomi dan kewangan di dalam Islam. Berdasarkan kepada faktor ini kita dapati para Ulama Fiqh telah menjadikan zakat sebagai tajuk utama dalam penulisan mereka yang berkaitan dengan Fiqh Al mali (Fiqh kewangan) seperti Al- Kharaj Oleh Abu Yusuf Al Kharaji, Oleh Yahya bin Adam, Al Amwal oleh Abi Ubaid, manakala dalam kitab-kitab Al-Syiyasah Al- Syariah para Ulama Fiqh juga tidak ketinggalan dalam membincangkan zakat dalam kitab-kitab mereka seperti : Asyiasah Al Syariah oleh Ibnu Taymiyyah, Al Ahkam Al- Sulthaniyyah oleh Al Mawardi dan juga Abu Ya,la

3) Dari sudut kemasyarakatan
Zakat merupakan institusi dalam menjamin kestabilan masyarakat. Jaminan ini dapat dilihat secara sepintas lalu tentang pengagihan yang telah dinaskan oleh Al Quran kepada asnaf lapan yang sedia kita maklumi. Firman Allah SWT:

انما الصدقات للفرء والمسكين والعملين عليها والمؤلفة قلوبهم و في الرقاب
والغرمين وفي سبيل الله وابن السبيل فريضة من الله والله عليم حكيم

Maksudnya : sesungguhnya zakat adalah untuk golongan fakir dan miskin dan amil dan golongan yang hati mereka berjinak (kepada Islam) dan golongan hamba yang ingin merdeka, dan golongan berhutang dan golongan musafir, fardu dari Allah dan Allah dan Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Sebutan Al Quran tentang golongan yang wajib diberi atau diagihkan zakat memberi isyarat bahawa kestabilan masyarakat boleh diwujudkan apabila permasalahan yang dihadapi oleh golongan tadi dapat diatasai.

Lima golongan : Fakir, miskin, hamba yang ingin merdeka, musafir dan berhutang adalah merupakan golongan masyarakat yang begitu sekali memerlukan bantuan kewangan untuk mengatasi kesulitan yang mereka hadapi.

Satu golongan : Amil, merupakan golongan pengurusan dan pentadbiran yang akan mengendalikan pentadbiran zakat untuk disampaikan kepada kumpulan sasaran.

Dua golongan : Fisabilillah dan muallaf merupakan golongan yang mempunyai kaitan rapat dengan politik bagi sesebuah Negara Islam, juga kaitannya dengan penyebaran risalah Islam secara menyeluruh diperingkat antarabangsa. Selain itu, zakat berperanan memikat, memujuk dan menarik golongan yang hatinya mula condong dan lembut kepada Islam agar memberi wala dan ketaatan kepada Negara. Dari segi yang lain pula zakat akan berperanan sebagai penyumbang kepada tabung kewangan jihad yang akan disalurkan dengan pelbagai bentuk, amal jihad seperti penyebar da'wah dan ajaran Islam yang melindungi ummah dari serangan berbentuk fitnah dan kemungkaran, memberi bantuan kepada pejuang-pejuang Islam dan mereka yang bertungkus lumus untuk meninggikan islam sehingga ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW ditegakkan.

Pengolahan ringkas diatas adalah dasar kepada penafsiran dan kupasan para ulama ke atas pengertian Fisabilillah.

Perkataan Fisabilillah telah ditafsir, dihurai dan dianalisa oleh para ulama di dalam berbagai bentuk dan bidang. Ada yang menyempitkan maknanya dan ada pula yang melebarkan huraiannya. Adalah lebih sesuai dipaparkan huraian dan tafsiran para ulama tentang pengertian Fisabilillah:

Pengertian Fisabilillah & Hubungan dengan zakat :

Ibnu Al Athir:
Makna asal Fisabilillah ialah semua perbuatan dan tindakan yang bertujuan menghampirkan diri kepada Allah.
Maka pemakaian  biasa (ghalib) ialah khusus untuk pengertian jihad. Makna kedua-duanya telah diterima secara ijmak oleh para fuqaha , sungguhpun sedemikian mereka agak tidak sekata tentang pengertian jihad. Adakah ia hanya terbatas kepada makna yang kita fahami, atau ia melangkaui kepada seluruh amal kebajikan dan perkara ma'ruf?

Pandangan Ulama ber-Mahzab Hanafi:

Abu Yusuf:
“Mereka yang tidak mempunyai bekalan dan persiapan untuk turut serta bersama tentera islam memerangi musuh, maka mereka boleh diberikan zakat”

Muhammad Hassan As-Shaibani
Mereka yang tidak mempunyai bekalan atau persiapan untuk menunaikan Haji, maka mereka boleh diberikan zakat”

Al Kasani
Semua bentuk perbuatan mentaati Allah termasuk perbuatan kebaikan dan kebajikan boleh diberikan zakat andai memerlukan”

Pandangan Ulama ber-Mahazb Maliki

Ibnu Arabi
"Mengikut Imam Malik, pembahasan Sabilillah terlalu banyak, dan aku tidak pernah berjumpa sebarang pertikaian bahawa berperang di jalan Allah bukan Fisabilillah"

Muhammad Abdul Hakam
“memberi bantuan senjata dan alat-alat perang adalah Fisabilillah”

Didalam Kitab syarah Al Dardir
Zakat boleh diberikan kepada pejuang yang berjuang di jalan Allah termasuk untuk tujuan membeli senjata dan memberi upah kepada pengintip untuk mencari rahsia musuh”


Pandangan ulama ber-Mahzab Syafie:

Ibnu Hajar
“Mereka ialah tentera islam yang berperang tanpa sebarang ganjaran (gaji)

Imam Syafie
“ Bantuan kepada tentera islam yang berhampiran (dalam negeri) yang pergi berperang, maka oleh yang demikian lalu Zakat tidak boleh dipindahkan ke negeri lain”

An- Nawawi
Tentera yang boleh berperang boleh diberi zakat untuk tujuan perbelanjaan dan pakaian untuk kegunaan semasa pergi dan balik, bahkan di dalam kitab Syuruh Al Mifah beliau mengatakan adalah juga dibolehkan zakat diberi kepada anak-anak dan tanggungan pejuang semasa dalam perjalanannya pergi balik ataupun semasa ia pergi berjuang.

Pandangan Ulama ber-mahzab Hambali

Mazhab ini tidak mempunyai perbezaan yang banyak dengan Mazhab As-syafie dalam menghuraikan makna Fisabilillah.

Di dalam kitab Ghayatul Muntaha
Adalah harus bagi imam (pemimpin) menggunakan wang zakat untuk membeli alat-alat perang termasuk kapal perang (Kenderaan)”

Berhubung dengan membantu mereka untuk mengerjakan haji maka Imam Ahmad bin Hambal mempunyai dua pendapat:

1): Mengerjakan haji dikira Fisabilillah.

2): Haji tidak dikira Fisabilillah, oleh itu tidak harus diambil bahagian Fisabilillah sebagai bantuan mengerjakan haji.
Pandangan kedua ini disokong oleh Ibnu Qudamah  bahawa Fisabilillah hanya dikhususkan kepada jihad.

Pandangan Ulama-ulama lain

Imam Ar-Razi : Fisabilillah tidak seharusnya dikhususkan kepada mereka yang berperang di jalan Allah. Ekoran dari itu, Al Qafal mendedahkan pandangan sebahagian fuqahak bahawa mereka mengharuskan Fisabilillah boleh diberikan kepada semua bentuk kebaikan dan termasuklah mengkhafankan mayat atau membina tembok dan membina masjid kerana kalimah (في سبيل الله) adalah kalimah am iaitu umum.

Ibnu Qudamah : Di dalam kitab Al Mughni menuqil perkataan Anas bin Malik dan Hassan Al-Basri : Apa yang kau berikan untuk membina jambatan dan jalan maka ia adalah sedekah yang harus atau diterima”
Maka kenyataan di atas adalah pengharusan zakat diberi untuk tujuan membuat jambatan atau membina jalan.

Imam Jaafar : Fisabilillah ialah semua perbuatan menghampirkan diri kepada Allah atau kepentingan awam seperti mengerjakan haji, berjihad dan membina empangan. Tetapi mengikut satu riwayat, Imam Jaafar pernah berkata: “ Fi sabilillah hanya dikhususkan kepada jihad.

Imam Al –Hadi : Di dalam kitab Syarah Al Azhar mengatakan : zakat berkenaan Fisabilillah hendaklah diberi kepada jihad kalau ada lebihan maka boleh (harus) diberikan kepada keperluan awam.

Di dalam Hawasyi Al Azhar : “ Bahawa pengagihan lebihan kepada bahagian lain bukan hanya dikhususkan dari saham Fisabilillah tetapi boleh juga dilakukan ke atas saham-saham yang lain untuk tujuan kepentingan umum’

Raudza Al Nadiyyah Syed Siddiq Hassan darI mahzab Hanafi :
Fisabilillah jalan kepada Allah dan jihad adalah sebesar-besar jalan kepada Allah, saham ini bukan boleh dikhususkan kepada jihad semata-mata kerana tidak tedapat dalil yang mengatakan demikian, bahkan ia boleh disalurkan kepada apa sahaja bentuk kepentingan dan kebaikan”

Al Qasimi (Ulama Ahlu Hadith)
Sheikh Jamaluddin Al Qasimi menyatakan : Fisabilillah tidak seharusnya dikhususkan makna berperang di jalan Allah,  lalu beliau mnguatkan hujahnya dengan menukilkan kenyataan penulis kitab Al Taj yang menyatakan : “Setiap usaha yang dilakukan bertujuan kerana Allah adalah termasuk dalam pengertian Fisabilillah”

Pandangan dua Sheikh Al Azhar iaitu Rasyid Redza dan Shaltut
Di dalam tafsir Al Manar Sheikh Rasyid Redza mengatakan : “Fisabilillah ialah dikhususkan kepada setiap usaha untuk kepentingan ummat islam secara umum yang dapat mengukuhkan agama dan Negara, bukan untuk kepentingan dan pengukuhan individu. Adapun menunaikan haji bukan kepentingan umum tetapi membelanjakan saham fisabilillah untuk tujuan kemudahan mengerjakan haji seperti menydiakan jalan dan bangunan adalah diharuskan. Itupun kalau tiada sumber-sumber lain”
Beliau juga mengatakan dalam tafsirnya bahawa saham fisabilillah di dalam huraian yang lebih umum ialah dengan membina hospital tentera, kebajikan awam, memperbaiki atau membina jalan, membina landasan kereta api tentera (bukan landasan komersal), lapangan terbang tentera, kereta perang dan lain-lain keperluan tentera. Untuk zaman kita, diantara yang penting ialah membelanjakan saham fisabilillah untuk tujuan menyediakan para pekerja dan mujahid yang bertugas menyeru kepada Islam. Dengan menghantar mereka ke Negara-negara bukan Islam melalui persatuan atau pertubuhan Islam yang bekerja untuk menyebar dan menegakkan islam.
Andai diteliti pandangan Rasyid Redza ini adalah selari dengan pandangan sheikh syaltut.

Fatwa Sheikh Makhluf
Sheikh Makhluf, Mufti Mesir telah diminta memberi fatwa tentang keharusan memberi zakat kepada beberapa pertubuhan kebajikan, maka beliau menjawab bahawa ia adalah harus. Fatwa yang dikeluarkannya itu adalah disandarkan kepada apa yang dinukilkan oleh Al Radhi dari Al Qaffal dan beberapa ulama lain dalam menghuraikan makna fisabilillah.











Kesimpulannya
Setelah melihat pandangan para Ulama dapatlah kita simpulkan bahawa fisabilillah bukan terhenti kepada makna perjuangan bersenjata sahaja bahkan ia mencakupi semua bentuk usaha dan gerakan yang membawa  kepada pengabdian diri kepada Allah serta kepentingan ummat. Jihad boleh dilakukan dengan lisan dan tulisan seperti mana ia dilakukan dengan pedang dan senapang. Kadang kala jihad dalam bentuk pemikiran, pendidikan, ekonomi, politik dan kemasyarakatan harus dilakukan. Dalam pada itu, kesemua jihad di atas memerlukan bantuan kewangan. Apa yang penting ialah setiap apa yang dilakukan hendaklah memenuhi syarat penting iaitu Fisabilillah yang bertujuan dan bermatlamat untuk memperjuangkan islam dan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Hal ini sinonim dengan pandangan Imam At Tabari dalam tafsirnya yang begitu jelas dan terang dalam membahas pengertian Fisabilillah iaitu:

“Fisabilillah mencakupi semua perbelanjaan untuk menerangkan islam dan memperkukuhkan syariat Allah, dan adapun pengertian Fisabilillah sebagai memerangi secara bersenjata musuh-musuh Islam merupakan sebahagian dari pengerian fisabilillah”

Bagi zaman ini, memerangi musuh yang menyerang kita dalam bentuk pemikiran, jiwa, sikap dan politik adalah lebih diperlukan kerana ianya lebih menggugat generasi seluruhnya. Selain itu, sebarang usaha untuk mengembalikan pemerintahan adalah fisabilillah.

Dalam hubungan ini, Rasyid Ridza pernah mencadangkan supaya ditubuhkan persatuan yang dianggotai oleh para ulama dan orang-orang disegani, untuk mengumpul zakat dari kalangan mereka serta disalurkan zakat tersebut untuk kebajikan dan kepentingan para anggotanya untuk melaksanakan Amar khair (kerja menyeruh kepada nilai kebaikan). Beliau diminta supaya mereka mengurus dan mentadbir persatuan tadi dengan baik. Seterusnya, beliau mengarahkan supaya sebahagian saham fisabilillah hendaklah disalurkan kepada  gerak kerja dan usaha untuk mengembalikan pemerintahan Islam. Ia merupakan jihad yang penting kerana serangan dan permusuhan kuffar terhadap Islam sentiasa berterusan dan ketara. Selain itu, Sebahagian saham lagi digunakan untuk tujuan berda'wah dan mempertahankan ajaran islam melalui lisan dan tulisan sekiranya kita tidak mempertahankannya dengan senjata.

Pada hemat penulis, pandangan ulama ulung ini perlu diberi perhatian serius, kerana fisabilillah merupakan perantara utama untuk kita kembali kepada kehidupan Islam yang sebenar  dan melaksanakan nilai dan hukumnya seperti yang dituntut oleh Allah dan RasulNya.
Akhirnya menegakkan Islam, melaksanakan sistem nilai Islam secara syumul menjadikan kita ummat Islam yang sebenarnya dan membina tamadun Islam adalah fisabilillah dan inilah yang kita perjuangkan.


(Artikel ini telah dibaca oleh 158 pelawat)

2 comments:

  1. syukron.. terima kasih kerana sudi melawat laman blog saya.. ahlan2 smoga bermanfaat

    ReplyDelete