ADA APA DENGAN CINTA
“Aku mencintaimu kerana agama yang ada
dalam dirimu, andai agama itu hilang maka cinta ku juga turut hilang” (Imam Nawawi)
Persoalan cinta adalah persoalan yang
melibatkan rasa dan perasaan, hati dan jiwa, serta pengorbanan dan kekuatan.
Kerana cinta wujud disetiap diri insan untuk menggambarkan bahawa cinta adalah natural (fitrah) insani untuk membentuk
nilai-nilai seorang manusia. Ada insan harinya dipenuhi rasa sepi dan gelisah
kerana kadang-kadang perasaan cinta mula hadir dalam diri, meski tidak mengerti
dari mana ia datang, kenapa ia datang dan mengapa ia hadir untuk menghantui
diri. Bukan aneh jika di tengah gelapnya malam
serta dalam kesibukan manusia, terdapat insan yang sedang berada dalam duka dan
sengsara berjuang untuk menahan rasa dan perasaan yang hadir tanpa diundang,
sehinggakan air mata mengalir deras meski tampak senyum dek zahir. Betapa
perjuangan cinta yang hadir dalam diri adalah perjuangan yang murni bagi
memenuhi kepuasan diri yang akhirnya membawa cinta yang sejati.
Ketahuilah, sesungguhnya Islam bukan
sekadar cosmetic yang mana
intipatinya jauh dari istilah yang digambarkan, begitu juga dengan persoalan
cinta yang tidak mahu dilihat secara literal (luaran) semata, seperti cinta
islamik atau lafaz (perkataan) cinta kerana Allah. Ini sinonim dengan kata Prof
Tariq Ramadan dalam Radical Reform, dengan menolak pengistilahan yang dikaitkan
dengan Islam seperti Islamic economy,
Islamic politic dan Islamic medicine.
Tambah beliau lagi, sebenarnya tiada pengertian
Islamic economy dan yang ada hanyalah
etika Islam dalam ekonomi[1] begitu juga dalam persoalan cinta yang mana tiada
istilah Islamic love yang ada etika
atau cara bagaimana bercinta cara Islam. Bukan tujuan penulis untuk membahas
berkenaan ekonomi, tetapi untuk memberi analogi (mantiq) bahawa cinta bukan
hanya dilafaz atau pengistilahan semata tetapi cinta adalah perasaan yang hadir
di hati untuk menggambarkan nilai kasih insan, sehingga terbit pengorbanan dan
kesetiaan (wala) dalam diri.
Oleh itu, akhirnya dalam metod penulisan
ini para pembaca akan mengenal cinta yang hakiki, kerana perluh diketahui
bahawa cinta adalah rahsia dalam diri untuk mengenal Sang pencinta seperti mana
yang dikatakan oleh ahli tasawuf .[2]
“Diri ini penuh dengan rahsia kerana
andai engkau mampu membongkar rahsia diri pasti engkau akan kenal Tuhan mu,
kenalilah diri mu nescaya engkau akan mengenal Tuhan mu”
CINTA
Seorang sarjana Arab bermadah dalam
syair :
لا تظلمو العشاق
يا قومي فما أبصرت غير مسارح
الفساق
ودعو اتعهود فما
وجدت لمدع في الحب من عهد ولا
ميثاق
الحب ما صرفا
القلوبا الي الهوا وسما الي الجوزاء بالاحداق
Maksudnya : "Janganlah kamu menggelapkan lamunan cinta wahai kaum ku, kerana aku tidak melihat selain pentas kerosakan .
Usah kalian mempercayai
mereka ini kerana mereka hanya menipu dengan mendakwa cinta dengan janji-janji
dusta.
Cinta tidak
mendorong hati kepada keinginan nafsu namun sebaliknya cinta adalah piagam
mulia.”[3]
Sebenarnya ramai
yang keliru atau celaru dengan hakikat cinta, lantas kerana kekeliruan dengan
hakikat cinta maka terbitlah penafsiran yang menyimpang (maudhu) sehinggalah pengertian
cinta disalahgunakan mengikut penilaian nafsu semata. Selain itu, tidak kurang
juga ada insan yang menolak sifat fitrah dengan mencampakkan perasaan cinta
lalu menganggap dengan cara membuang perasaan ini maka mereka adalah insan yang
suci serta maksum dari kecacatan insani. Sebenarnya, bukan penulis ingin menyentuh
soal sensitiviti agama yang berkaitan dengan Paderi atau Sami kerana menurut
tradisi agama Kristian atau hindu bahawa mereka menganggap dengan mencampakkan (membuang)
perasaan cinta yang hadir dalam dalam diri dengan cara menahan diri dari kahwin
menunjukkan mereka adalah suci.
Berbeza dengan
tradisi Islam yang mengangkat nilai fitrah dan mempercayai bahawa cinta adalah
fitrah kepada manusia yang harus diiktiraf, dan mengajar kepada penganut Islam
bahawa cinta berhubung dengan hati dan jiwa, serta dengan cinta juga melahirkan
kuasa (power) kepada nilai insani. Sepertimana Allah berinteraksi dengan
manusia melalui firmannya dalam surah Al Hujurat ayat 10 :
ِنَّمَا
الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَ
“Sesungguhnya
orang-orang mukmin itu bersaudara”
Ikatan
persaudaraan adalah ikatan cinta yang hadir dalam tradisi Islam sehinggakan
termeterai dalam Al Quran iaitu sifat saling mencintai adalah tuntutan aqidah
bahawa tidak beriman seseorang muslim andai tidak mengasihi saudaranya[4]
Firman Allah :
“Muhammad adalah
rasulullah dan orang-orang beserta Muhammad itu mempunyai sifat keras (tegas)
terhadap kaum kafir tetapi saling mengasihi (mencintai) sesama kaum
mukmin. (Surah Fath 29)
Seorang sarjana
bermadah dengan tajuk syairnya “Hidup Berdiri Atas Cinta”
Dari akar mekar
rasa cinta
Lahirlah jiwa
mesra dan manja
Dari akar mekar
rasa cinta
Bahagia sengsara
menjelma
Dari akar mekar
rasa cinta
Muncul tawa dan
air mata
Betapa hakikat
cinta merupakan keperluan yang hadir sebagai nada yang syahdu dalam diri insani
untuk menunjukkan pengertian cinta yang harus dilihat dari sudut nilai
manusiawi, andai kita melihat kepada syair-syair ataupun lirik lagu pasti kita
akan menemui elemen cinta yang hadir dan diketengahkan bertujuan untuk
menyentuh hati para pendengar. Begitu juga dengan para filosof atau ahli sufi
banyak menggunakan unsur cinta dalam citrah da’wah untuk menarik hati insan
kembali menghayati Islam.
CINTA VS
MAHABBAH
Cinta yang
berkaitan dengan hubungan sesama manusia berbeza dengan cinta yang berhubung
dengan Tuhan, pengertian cinta sesama manusia menurut Dr. Abdullah Nasih Ulwan
dalam bukunya Management,cinta ialah
:
“Cinta adalah
perasaan jiwa dan gejolak hati yang mendorong seseorang untuk mencintai
kekasihnya dengan penuh ghairah, lembut dan kasih sayang. Cinta adalah fitrah
manusia yang murni yang tidak terpisah dari kehidupan, jika seseorang ingin
menikmati cinta dengan cara terhormat, suci dan mulia tentu dia akan
mempergunakan cinta itu untuk mencapai keinginan cinta yang mulia pula”
Persoalan yang
acap kali remaja persoalkan adakah haram
bercinta?, secara peribadi saya tidak setuju dengan pengharaman bercinta,
kerana bagi saya persoalan feqah harus berkaitan dengan da’wah iaitu apabila
memberi jawapan tanpa melihat kepada situasi dan keadaan semasa ummat Islam
dalam Negara, maka kita khuatir andai kita menghukum haram sedangkan tiada nas
pengharamannya akan melahirkan hakim berbanding da’ie sedangkan Islam itu penuh
dengan penyelesaian (alternatif).
Manakala cinta
atau mahabbah dalam bahasa arab berasal dari perkataan “ahab, yahibbu, atau
mahabbatan” iaitu secara harfiah bermaksud mencintai secara mendalam atau
kecintaan yang sangat mendalam[5] Selain itu, dalam Al mu’jam Al’falasafi jamil
salibah mengatakan bahawa mahabbah adalah perkataan lawan kepada Al bughd iaitu cinta lawannya benci.
Maka dalam
tradisi Islam kecintaan itu harus diberikan sepenuhnya kepada Allah dan Rasul
sebelum mencintai sesuatu lebih-lebih lagi cinta kepada kekasih, kerana kita
harus yakin bahawa andai kita mencintai Allah dan rasulnya pasti kita akan
ditemukan kepada insan yang mencintai Allah, dan Allah tidak akan membiarkan
insan yang cinta kepada Allah jatuh cinta kepada insan yang tidak mencintai
Allah. Seterusnya, menurut Harun Nasuton seorang serjana Islam berpendapat.
“Pengertian
Mahabbah adalah cinta kepada Tuhan semata, dan tambah beliau lagi ia mempunyai
tiga prinsip.
1. Mematuhi setiap
peraturan Tuhan dan membenci larangannya
2. Menyerah segala Din (agama) kepada yang dikasihi
3. Mengosongkan
hati dari semua perkara kecuali dari yang dikasihi, iaitu Tuhan
Allah berfirman
dalam surah Ali Imran ayat 31
قُلْ
إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ
لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya:
Katakanlah wahai Muhammad, jika
benar-benar kamu mengasih Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi
kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun dan
Maha Pengasihani.
Ini bersesuaian
dengan fahaman Sahl Abdullah bahawa mahabbah
(cinta) adalah kesesuaian hati yang sentiasa tetap dengan Allah SWT dengan
berzikir hingga menemui kelazatan
bermunajat kepada Allah swt serta meneladani Rasulullah untuk mendekati Allah
dengan sepenuh hati.[6]
Bagi Dr. Hamka
pula, mahabbah tanpa pembuktian dan
pengorbanan adalah palsu. Hamka berkata ketika menafsir ayat Al Quran yang
penulis kemukakan di atas iaitu surah Al
Imran ayat 31:
“Tetapi cinta
dalam ucapan sahajapun tidaklah cukup, bahkan cinta hati tidak diikuti
pengorbanan tidaklah cukup menyatakan cinta. Padahal lisan dan hati serta
amalan sering berbeza. Andai itu terjadi maka itu adalah cinta palsu. Allah
tidak menyukai kepalsuan. Apabila kamu mencintai sesuatu tentu keinginan kamu
adalah keinginan dia. Apatah lagi cinta kepada Allah, apabila kamu mencintai Allah
maka fanalah keinginanmu sendiri kerana lebur dalam kecintaannya. Nescaya
bertaubat kamu hanya satu dan Dia saja ingatanmu, andai berbelah bagi
ketaatanmu maka palsulah cintamu.”
Penafsiran diatas menunjukkan bahawa Dr. Hamka cuba membawa kita untuk
menggilap hati untuk menyerahkan segala kehendak diri kepada kekasih iaitu Allah,
maka mahabbah dalam perspektif Hamka
adalah membersihkan jiwa sehingga melahirkan cahaya di dalam hati, dan mahabbah
tidak akan terjadi andai ia tidak digilap terlebih dahulu seperti menggilap
intan dan permata.
Al Hafidz Ibnu Katsir (Wafat 774) :
“Surah Ali Imran ayat 31 ini
adalah pemutus (hakim) kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi
tidak di atas jalan Muhammad SAW, maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa
yang didakwanya sehinggalah dia mengikuti syariat Nabi Muhammad dan agama
nabawi dalam semua perkataan, perbuatan dan hal ehwalnya seperti yang pasti
dalam Sahih Bukhari daripada Rasulullah “Sesiapa yang beramal dengan sesuatu
amalan yang tidak diatas petunjuk kita, maka ia tertolak”[7]
Untuk cinta kepada Allah tiada cara lain selain mengikut petunjuk Al
Quran dan Hadith, ijma sahabah dan ijma
ulama, tanpa ada amalan yang ditambah (bid’ah)
dalam ibadah.
Akhir sekali, suka penulis berkongsi cerita iaitu, pada suatu hari
seorang cendikiawan Islam yang mempunyai seorang pembantu yang selalu
mendirikan solat malam. Lantas dia menegur pembantunya dengan berkata :
“Sembahyang malam kamu akan mengganggu kerja kamu pada esok hari”
Lalu pembantu itu menjawab dan berkata :
“Apakah yang perlu saya lakukan? Bila saya teringat syurga, maka rasa
rindu amat panjang, dan bila saya teringat neraka, maka rasa takut
menjadi-jadi. Bagaimanakah saya boleh tidur sedangkan saya berada antara rasa
takut yang selalu mengikut saya dan rasa rindu yang membuat hati saya gelisah”[8]
Betapa cinta adalah pengikat hati untuk merindui Sang kekasih dan rasa
takut adalah benteng untuk terus menghampirinya agar tidak melakukan benda yang
dilarang, serta pengharapan adalah nilai cinta yang sejati untuk menunggu
balasan cintanya.
Nota kaki
____________________-
[1] Tariq Ramdhan dalam bukunya Radical
Reform.
[2] Petikan dari kitab Falsafah Hidup Dr.
Hamka.
[3]
(Qasidah atau syair rehla a basatun – perjalanan yg muram) karangan Sheikh
Ahmad Muhram Bin Hassan Afandy Abdullah.
[4] Hadith riwayat BukhariBukhari.
[5] Mahmud Yunus – kamus Arab.
[6] Abu nasr Al Sarraj Al Tusi (1960) Al luma Mesir ketika berbahas berkenaan mahabbah.
[7] Ibnu Katsir Tafsir Al Quran Al Adzim
1/366 Beirut : Dar Al Maarifah.
[8] Cerita yang dipetik dari kitab NAFAHAT AL-JUMAAH karangan
Imam Dr Yusuf Al Qharadawi.
(Artikel ini telah dibaca oleh 385 pelawat)
(Artikel ini telah dibaca oleh 385 pelawat)