Friday 26 September 2014

PEMUDA DAN TAJDID

PEMUDA DAN TAJDID

Dalam kesibukan menghabiskan kajian berkenaan beberapa seni debat dalam Al Quran tiba-tiba ada keinginan untuk membuka ‘WhatsApp’ lantas terbaca status seorang kawan dalam 'group' Keluarga Sunnah (Tajdid). Yang mana tujuan penubuhan group ini bagi mengumpulkan pemuda dan pemudi sabah untuk meneruskan agenda tajdid di bumi Sabah. Status itu berbunyi :




“Tajdid bukan bererti mendatangkan agama baru. Di sini dua maksud tajdid boleh diberikan ; Pertama, tajdid bermaksud mengembalikan wajah asal agama seperti kita membaharukan semula
sesuatu yang telah menjadi buruk atau akan luput tarikhnya. Pembaharuan atau tajdid bererti yang asas itu wujud,

tetapi keadaan dan masa menuntut ia dibaharukan. Contoh yang praktikal adalah kita membaharukan lesen memandu atau selainnya. Lesen asal itu ada, tetapi pembaharuan dibuat disebabkan ia menjadi lama atau luput.

Kedua, tajdid juga boleh bermaksud benar-benar mendatangkan sesuatu yang baru disebabkan kerana keperluan dan tuntutan yang baru yang tiada pada zaman sebelumnya seperti manusia mengadakan kenderaan moden, tetapi atas asas yang sama iaitu kehendak manusia untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Maka dalam konteks Islam, sesuatu yang baharu itu hendaklah tidak mengubah agama, sebaliknya tafsiran atau pandangan yang baru disebabkan tuntutan keadaan, namun ia tetap tidak lari dari maksud dan kehendak nas al Quran dan al- Sunnah.
Dalam erti kata lain, pembaharuan Islam bermaksud mengembalikan umat kepada wajah asal Islam yang telah tercemar dan dilupai disebabkan keadaan dan zaman, atau mengadakan tafsiran dan pandangan baru atas keperluan semasa tetapi tetap berteraskan al-Quran dan al-Sunnah”

Selesai je aku membaca lantas terukir senyum di bibir menunjukkan bahagia rasa hati kerana persoalan-persoalan yang sering aku timbulkan tidak terhenti sekadar tulisan tetapi ia diiringi pengkajian setiap persoalan. Meskipun pada awal penubuhan kumpulan ini, timbul kekhuatiran dalam hati dan kekadang bermonolog sendiri :


“Rahmat, tak takutkah dengan label dan persepsi kawan-kawan engkau di dalam 'group' tu? tak serik ke di label wahabi atau fikrah jamaah yang tak jelas?? Erhmmmm aku menjawab monolog itu dengan nada yang tegas dan berani.Ah… Sudah… Aku tidak peduli dengan tohmahan dan celaan orang-orang mencelah kerana aku tahu aku ikhlas untuk mengemudi bahtera tajdid demi Negeri serendah embun dan setinggi gunung kinabalu itu.


Pada hemat saya, cahaya fajar kian menerangi siang yang kian gelap oleh gelita malam dan fajar itu tidak boleh dihalang walau dengan teknologi dan persenjataan barat yang canggih serta luar biasa, namun sudah Sunnatullah cahaya fajar akan menerangi alam setelah padam oleh gelap gelita malam. Saya juga mengimani cahaya tajdid yang dipelopori oleh pemuda dan pemudi akan menerangi bumi di bawah bayu nanti.

DARAH PEMUDA DARAH TAJDID

Sejarah telah mencatat bahawa pemuda tidak pernah sepi dengan idea-idea tajdid bahkan pemuda tidak pernah mengecewakan lipatan sejarah dalam gerakan membangun dan mengembalikan Islam di tempat yang tinggi dan mulia. Sungguh, betapa pemuda bagaikan pelangi indah yang mencorak warna setelah hujan gerimis datang bertandang dan pemudi bagaikan bintang menyinari dan menghias gelap gelita malam.

Kata al-Imam Ahmad bin Hanbal-dengan meriwayat hadis melalui sanadnya -: “Sesungguhnya Allah menentukan untuk manusia pada permulaan setiap seratus tahun sesiapa yang mengajar mereka sunnah, dan membuang pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w”. Kami perhatikan, kami dapati pada awal keseratus tahun, ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan pada awal kedua ratus tahun al-Syafi’i”. (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala 10/46. Beirut: Muassasah al-Rasalah).

Dalam hadith yang lain berbunyi : “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan pada kepala setiap seratus tahun sesiapa yang akan membaharukan untuk umat ini agama mereka”. (Riwayat Abu Daud, sahih)

Pemuda pembenar hadith akan lahir seperti lahirnya Sultan Muhammad Al Fateh untuk menawan dan membuka Konstantinopel ketika mana Nabi bersabda dalam lelah dan susah payah menggali parit di medan Khandak lantas Nabi bersabda Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya sebaik-baik raja, tenteranya
sebaik-baik tentera. (Hadith Riwayat Imam Ahmad).

Maka pemuda tajdid akan terus lahir untuk mengembalikan Islam mengikut sumber dan nas yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul, meskipun terpaksa berhadapan dengan gelombang ombak yang tinggi setinggi Tsunami bahkan andai ada setinggi dari itu pemuda akan hadapi dan akan tembusi, walaupun terpaksa menjadi Ghuraba (terasing, atau dipandang asing) di bumi sendiri kerana Iman pemuda berjuang. Perlu diketahui tidak semestinya pentajdid agama itu akan lahir setiap seratus tahun bahkan ia sentiasa hadir dan wujud selagi mana kerosakan, kedobrokan oleh segala onar penyesatan, kezaliman dan Thogut tidak dibendung maka selagi itulah pentajdid dan gerakan tajdid akan wujud dan sentiasa bergerak meski ia dihalang oleh tembok yang besar, pasti tembok itu akan ditembusi dan dihancurkan oleh segenap kekuatan. Ini seperti yang disebut oleh Ibn Athir dalam Jami Ushul Fi Al Hadith menyebut :

" Tidak semesti tajdid bagi setiap kurun itu seorang lelaki, boleh jadi seorang, boleh jadi juga ramai. Tidak semestinya tokoh-tokoh fekah sahaja, boleh jadi juga tokoh-tokoh politik, ulama Al-Quran, ulama hadis, pendakwah, golongan zuhud dan selain mereka. Ini kerana setiap kaum mempunyai keperluan dalam bidang tertentu yang mungkin berbeza dengan kaum yang lain. Ini berdasarkan tuntutan semasa. Tujuannya tajdid itu memelihara agama, kerukunan politik, menyebarkan keadilan dan keinsafan yang dapat memelihara masyarakat. Selain itu, perlu dimaklumi bahawa akan ada insan yang terpilih menerajui gerakan ini kerana andai ada hempedu mesti ada madu, andai ada racun mesti ada penawar dan andai ada sedih mesti akhirnya akan muncul riang dan tawa. Itulah hakikat, kekadang kita terpaksa memilih dalam keadaan kita terpilih. Oleh itu, sungguh jalan tajdid memerlukan pemuda dan pemudi yang ingin membahtera perjuangan ini dalam keadaan memilih dan terpilih, kerana tajdid dan pemuda sangat sinonim bagaikan aur dengan tebing dan bagaikan muzik dan irama yang tidak boleh dipisahkan. Kerana Allah telah menciptakan dalam diri mereka mempunyai jiwa yang besar dan cekal dalam menghadapi mehnah tatkala masyarakat memandang sinis dan terkejut dengan pembaharuan yang jauhbertentangan dengan amalan jahiliyyah atau amalan nenek moyang mereka yang menyimpang. Firman Allah yang bermaksud :

“Nabi Shuib berkata, “ Wahai kaumku, bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan ia pula mengurniakan daku pangkat nabi sebagai pemberian daripada-Nya (patutkah aku berdiam diri daripada melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu dari melakukannya, aku hanya bertujuan hendak membuat islah (Memperbaiki sedaya upaya ku). (Surah Hud ; ayat 88)

Atas dasar ayat ini, pemuda tajdid tidak sanggup membiarkan masyarakat terus dilanda derita dan tidak sanggup melihat ummat sengsara oleh kegelapan Jahiliyyah samaada ia berbentuk kesalahfahaman terhadap Aqidah, ibadah dengan taklid membabi buta, sistem pembodohan pendidikan dan pemerintah yang zalim. Tidak sekali pemuda yang punya darah tajdid membiarkan ini berlaku, maka pemuda tajdid muncul tatkala pemuda yang lain asyik menghabiskan masa dengan hiburan, lepak,dan hedonisme tanpa sempadan, dan mereka menghabiskan hidup mereka untuk Islam serta sentiasa menghadapi tribulasi dalam membawa era baru untuk ummat sehinggalah menang atau syahid menjadi pilihan.

AGENDA TAJDID YANG INGIN DIBAWA




Tiba-tiba mesej baru masuk dalam group itu dan dengan serta merta menghentikan renungan dan monolog dalaman ku. Mesej itu seakan-akan bertanya kepada Haslisa, yang mula-mula menimbulkan persoalan tajdid dalam ‘group’ tersebut. Lama aku menunggu untuk Haslisa jawab, tetapi aku silap. Soalan itu tanpa jawapan. Erhmmmm dengan rasa tak tahu malu aku cuba menjelaskan jawapan dari persoalan tersebut. Soalan dia begini :

“Itu tajdid…. Kalau islah pula….????”“Erhmmmm dengan menarik nafas panjang jari mula melakar jawapan, dalam keadaan aku seronok kerana telah wujud suasana yang aku nak iaitu saling berfikir dan melontarkan idea.”

Selesai aku menulis terus ku balas jawapan yang berbunyi :

“ Mai kita lihat dari pmbahasan kalimat Arab agar dekat dngan makna. Islah dari perkataan asluhu yg brmaksud asal Ibnu manzur dlm kamus Lisan Al Arab mnyatakan pengertian islah dengan makna menghilangkan kerosakan atau mendirikan semula atau dari sudut epitemologi bermakna mengembalikan sesuatu keadaan kepada sesuatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai. Itulah pngertian islah... Semua dalam group ini adalah duta islah..... Insyallah.. Setelah menjawab aku teruskan merenung dan memikirkan apa agenda yang ingin ku bawa dalam mengemudi gerakan islah dan tajdid dalam konteks Borneo Sabah. Lantas aku berfikir.

gerakan tajdid perlu memperjuangkan dasar-dasar perubahan yang tuntas kearah pemodenan dan islah. Selain itu, perlu mewujudkan pemuda yang tangkas dalam gerakan dakwah dan sosial serta berusaha menggarap kefahaman Islam yang sahih secara holistik dan mengadakan usaha-usaha pembaharuan yang berkesan. Pemerkasaan akal juga tidak boleh dilupakan dalam arena tajdid kerana pada hemat penulis, kekurangan pengetahuan itu menjadikan seseorang berfikiran sempit dan menolak adat istiadat yang jelas merupakan sesuatu kedobrokan, kerana hanya menghukum kepada adat kebiasaan dan adat istiadat, padahal adat istiadat itu tidak boleh dijadikan dasar hukum dalam menentukan baik buruk, betul salah. Untuk menentukan baik buruk, betul salah hanyalah hukum yang sah dan sesuai dengan hati yang suci.

PENUTUP

Para reformis tajdid ramai yang menjadi mangsa dalam keceluparan puak agamawan yang konservatif sehingga orang-orang yang ikhlas ini mendapat beberapa label sama ada label itu berbunyi wahabi, wasabi, sesat dan banyak lagi tanpa berdasarkan hujah yang jelas dan alasan yang kukuh terhadap gelaran yang dilemparkan.




Mehnah perjalanan gerakan ini berbeza dari dulu dan kini, orang terdahulu ada yang dipenjara dan ada yang dibuang negeri sehingga sampai ke satu tahap tulisan mereka turut diharamkan, ini terjadi dengan tokoh reformis nusantara yang dilabel dengan gelaran wahabi, jahil, penderhaka dan kaum muda seperti Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderate muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang Melayu, begitu juga muridnya, Dr. Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanah air dan lain-lain. Namun meski ketika hayat mereka, mereka dicemuh, dilabel dan dituduh dengan tuduhan yang tidak berasas tetapi dalam lipatan sejarah, mereka disanjung. Perlu disedari kebebasan dan kemajuan dalam berfikir yang kita nikmati hari ini adalah sumbangan dari tokoh tajdid seperti mereka. Bukan kerana matinya tokoh ini, tajdid juga turut mati. Ketahuilah tajdid akan terus hidup untuk mengemudi bahtera perubahan dan pembaharuan Islam, supaya Islam kembali berteraskan Quran dan hadith serta ijmak sebagai asas.

(Artikel ini telah dibaca oleh 155 pelawat)



5 comments:

  1. Satu perkongsian yg baik , semoga borneo akan subur dengan tenaga2 pemuda yg memperjuangkan Agama Allah .. Sy mendoakan anda semua .. Tidak ada rehatnya dlm perjuangan kecuali putusnya nafas .. Takbir

    ReplyDelete
  2. Amin.. Insyallah, dan mari bersama mnjadi modus operandi dlm gerakan ini. Ucapan syukron jazilan kerana sudi meluangkan masa melawat blog yang tidak seberapa serta dhoif...

    ReplyDelete
  3. Pengunaan bahasa yang mantap.
    Tahniah. Sebab mesej mudah difahami umum

    ReplyDelete
  4. Moga anta thobat dalam perjuangan

    ReplyDelete